fbpx

Tiru elemen K-drama, demi nak cari kelainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN segar Amelia Henderson dan Aedy Ashraf menjadi daya tarikan utama naskhah Kisah Cinta Kita.

SELALUNYA jika menonton drama Melayu tempatan, jalan cerita dan garapan idea yang adakalanya terlalu tipikal sehingga penonton boleh menjangkakan apakah naratif seterusnya.

Tampil membawa sedikit kelainan, drama Kisah Cinta Kita (KCK) muncul dengan elemen seperti yang pernah disaksikan menerusi naskhah Korea Selatan atau K-drama bagi menjadikan jalan ceritanya lebih menarik dan dramatik.

Elemen K-drama

Pengarahnya, Muhamad Riza Baharudin berkata, idea untuk menyelitkan elemen K-drama bertujuan membawa kelainan ke dalam cerita drama Melayu.

Pendekatan tersebut bagaimanapun mengundang kritikan apabila KCK dikatakan meniru drama Descendants of the Sun (DOTS) sehingga tular dalam media sosial.

“Semasa nak lakonkan semula babak asal daripada drama DOTS, saya memang sudah jangka akan menjadi bualan ramai dan mengatakan saya menirunya sebaliknya tidak.

“Saya tidak meniru dan mungkin ini juga cara untuk saya buat promosi kepada umum. Sebenarnya satu babak DOTS sahaja yang saya ambil, jika ada yang sama hanya kebetulan,” katanya.

Tidak menafikan naskhah arahannya dihujani dengan komen-komen negatif netizen, Riza mempertahankan pendekatan yang hanya ingin lari daripada kebiasaan karya tempatan.

“Saya cuba untuk merealisasikan apa yang penonton mahukan. Selalu sangat dengar penonton persoalkan mengapa drama tempatan tidak seperti K-drama.

“Penonton ada banyak jenis, macam-macam yang mereka mahu dan saya juga tidak ambil sensitif sangat dengan komen-komen netizen.

“Komen negatif atau positif, saya terima sahaja untuk memajukan lagi cara kerja saya. Hal ini juga bukan halangan untuk saya lebih berkarya,” katanya dalam sidang akhbar KCK secara virtual baru-baru ini.

Bercerita mengenai sandaran utama, Riza memberitahu, Amelia Henderson mahupun Aedy Ashraf berjaya menjayakan tugas dengan cemerlang.

“Hero dan heroin drama ini sangat hebat. Keserasian kedua-duanya sangat bagus dan mereka tahu bagaimana nak menghidupkan watak-masing-masing.

“Lebih mengujakan, kehadiran pelakon senior Datuk Jalaluddin Hassan turut menyemarakkan jalan cerita sedia ada,” katanya lagi.

Cabaran dua watak

Sementara itu, menurut Amelia yang memegang dua karakter iaitu Aleesa dan Natasha, dia menerima tawaran watak utama KCK ialah kerana jalan ceritanya berbeza berbanding karya tempatan lain.

“Jalan ceritanya sedikit kompleks, itu yang menarik saya untuk menerima tawaran ini terutama memerlukan memegang dua karakter.

“Sebagai anak seni, saya sangat sukakan cabaran dan cerita ini lengkap dengan konflik dan drama,” jelasnya.

Ditanya mengenai cara untuk menjiwai dua watak berbeza, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 26, mengakui kepercayaan tersebut sangat mencabar.

“Ini merupakan satu pengalaman dan cabaran yang berbeza daripada drama-drama lakonan saya sebelum ini. Ya, bukan mudah nak bertukar-tukar watak tetapi saya berjaya lakukannya atas bantuan kru produksi dan tunjuk ajar barisan pelakon lain.

“Namun, perkara paling penting ialah saya lakukan rujukan bagi memahami jalan cerita dan karakter sebelum menjayakan mana-mana watak, tidak kiralah untuk KCK mahupun drama lain,” ujarnya lagi.

Sebagai info, KCK yang ditayangkan sejak 26 November lalu itu merupakan drama terbitan A. Aida Production.

Selain Amelia, Aedy dan Jalaluddin, KCK turut dibarisi beberapa pelakon hebat tanah air lain seperti Datin Seri Maria Farida, Khaty Azian, Ikmal Amry dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI