fbpx

KPM tunggu laporan pelajar dipukul senior di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mah Hang Soon (dua dari kiri) pada Majlis Angkat Sumpah Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Negeri Perak di Ipoh hari ini.

IPOH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menunggu laporan terperinci kes buli membabitkan lima pelajar di sebuah sekolah menengah berasrama dekat Muadzam Shah di Rompin, Pahang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, tindakan akan diambil setelah siasatan lengkap oleh pihak berkaitan selesai dijalankan.

“Apa yang paling penting sekarang, kita tunggu laporan terperinci daripada pihak berkenaan.

“Apa-apa tindakan, perlulah berpandu kepada apa yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pemimpin Baharu Persatuan Lembaga-Lembaga Pengurus Sekolah Cina Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! hari ini mendedahkan, lima pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah menengah berasrama di Muadzam Shah dikurung dalam bilik selama kira-kira dua jam dan dibelasah sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Difahamkan, pelajar itu dipukul, ditumbuk dan disepak selain dikenakan ‘hukuman’ rotan oleh pelajar senior.

Dua laporan polis dibuat pada Isnin lalu berkaitan kes pukul berkenaan dan kini dalam siasatan pihak polis.

Sementara itu dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya akan menjalankan kajian berkaitan cadangan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama oleh pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

“Berkaitan cadangan dan pandangan yang diberikan itu, saya ucapkan terima kasih dan kajian akan dijalankan oleh pihak kementerian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI