fbpx

Gudang jadi transit simpan minuman keras, barangan runcit seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nasir (tiga dari kiri) menunjukkan minuman keras yang dirampas di dalam sebuah lori yang disembunyikan di sebuah gudang di Kampung Gual Pasung Hantu, Rantau Panjang, Selasa lalu. FOTO IHSAN JKDM KELANTAN

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya membongkar kegiatan sindiket penyeludupan minuman keras dan barangan runcit yang menjadikan sebuah gudang di Kampung Gual Pasung Hantu, Rantau Panjang di sini sebagai transit penyimpanan barangan tersebut, Selasa lalu.

Serbuan itu dilakukan oleh Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM kira-kira pukul 6 petang selepas menjalankan risikan dan maklumat awam.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, pasukan operasi mengesan sebuah lori jenis Hicom dengan nombor pendaftaran tempatan yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an masuk ke dalam gudang itu.

Menurutnya, siasatan mendapati, lori tersebut dipercayai disembunyikan di dalam gudang itu buat sementara waktu sebelum muatannya dibawa keluar dan dijual di negara ini.

“Pemeriksaan di dalam lori itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 2,478 botol bersama 96 tin minuman keras pelbagai jenama, sejumlah pakaian dan pelbagai barang runcit yang disyaki diseludup dari Thailand.

“Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM100,920 dengan anggaran cukai RM50,469,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasir, siasatan mendapati, sindiket itu membawa masuk barangan itu secara haram melalui pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang tanpa berhenti di tempat pemeriksaan kastam.

Ujarnya, mereka juga dipercayai menggunakan khidmat tonto bagi memerhatikan setiap pergerakan pegawai yang bertugas di ICQS Rantau Panjang dan kehadiran pihak berkuasa di pintu masuk negara.

“Sindiket penyeludupan akan membawa masuk barangan tersebut pada waktu puncak iaitu pada tengah hari dan tengah malam sebelum ia menyembunyikannya di gudang berkenaan.

“Minuman keras dan barangan runcit yang belum mendapat kelulusan kastam itu dipercayai akan dibawa dan dijual di Kuala Lumpur,” katanya.

Ujarnya, pemandu lori yang merupakan warga tempatan itu telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000.

Tambahnya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI