PETALING JAYA – Penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan pendapatan semua pihak sejak Mac tahun lalu memaksa pemilik rumah sewa menetapkan hanya kakitangan kerajaan dengan gred 41 dan ke atas sahaja dibenarkan menyewa bagi mengelakkan mereka ditipu.
Jika sebelum pandemik, syarat kelayakan penyewa mestilah yang mempunyai pekerjaan tetap sama ada kerajaan atau swasta, namun kini ia tidak lagi terpakai, sudah lapuk dan relevan.
Syarat baharu itu dikatakan bakal menyukarkan golongan yang bekerja sendiri atau pemandu kerana tiada pemilik yang mahu memberikan rumah sewa ekoran bila-bila masa pendapatan mereka boleh terjejas.
Tinjauan di ruang iklan rumah sewa yang dipamerkan di media sosial mendapati, rata-rata pemilik rumah atau ejen menetapkan hanya staf kerajaan sahaja yang layak menjadi penyewa kerana mereka mempunyai gaji tetap untuk melunaskan bayaran bulanan.
Syarat tersebut ditetapkan kerana keinginan tuan rumah untuk mendapatkan penyewa yang membayar sewa rumah secara tetap tanpa tunggakan sekiranya negara sekali lagi diserang malapetaka seperti Covid-19.
Perkara itu telah diakui sendiri oleh salah seorang tuan rumah yang baharu sahaja menyewakan kediamannya di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor kepada kakitangan kerajaan pada April lalu.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Faridah, 56, itu berkata, dia terpaksa membuat syarat seperti itu sebagai jaminan penyewa tidak culas bayaran sewa bulanan seperti yang pernah terjadi kepadanya beberapa bulan lalu.
“Saya perlu letakkan syarat penyewa perlulah dalam kalangan pekerja kerajaan. Sebelum ini penyewa rumah saya adalah pemandu lori.
“Ketika kemuncak Covid-19 melanda, penyewa sebelum ini telah diberhentikan kerja dan sewa tertunggak selama empat bulan. Apa yang membuatkan saya geram apabila dia keluar rumah macam tu sahaja tanpa melunaskan sewa tertunggak tersebut,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, kakitangan kerajaan dijadikan syarat utama kepada penyewa kerana dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Saya terpaksa letak syarat sebegitu kerana bagi saya ia tidak salah kerana itu hak saya sebagai tuan rumah,” jelasnya.
Sementara itu, seorang kakitangan bank, Fakri Nazim, 29, berkata, dia pernah mengalami kejadian serupa ketika dia ingin menyewa sebuah rumah baru-baru ini.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia hendak mencari rumah sewa di Ipoh, Perak pada awal Oktober lalu.
“Saya baru dipindahkan dari Kelantan ke Perak atas tuntutan kerja dan apa yang memeranjatkan saya ialah pemilik rumah ingin melihat penyata gaji terlebih dahulu.
“Saya terkejut dengan syarat itu, pada awalnya saya hubungi tuan rumah selepas terbaca iklan rumah sewa jenis kondominium di Facebook,” katanya.
Tambahnya, pemilik rumah memberi syarat hanya kakitangan kerajaan yang bergred tinggi iaitu gred 41 atau pegawai ke atas sahaja dibenarkan untuk menyewa.
“Tuan rumah minta slip gaji saya walaupun saya nyatakan saya pegawai bank. Dia tidak percaya dan setelah melihat sendiri pendapatan saya barulah dia izinkan saya menyewa kondominiumnya,” jelasnya. -K! ONLINE














