fbpx

6 pelajar MRSM terlibat kes buli digantung sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan satu kejadian buli melibatkan beberapa orang pelajar yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

KUALA NERANG – Enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak yang dipercayai terlibat dalam kes buli digantung serta merta selama dua minggu persekolahan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM turut mencadangkan kesemua pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di institusi itu.

“JDM MRSM telah memanggil seramai 10 pelajar yang terlibat dengan insiden tersebut.

“Dalam laporan yang disediakan, seramai enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi,” katanya.

MAHDZIR pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Padang Terap hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, mereka terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga.

Mahdzir memberitahu, pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

“Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temu duga sebagai saringan, kualiti pendidikan, kokurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.

“Tetapi dalam banyak itu, ada lagi kes yang seperti ini. Saya amat kecewa sebagai menteri yang jaga MRSM.

“Tidak sepatutnya pelajar-pelajar ini terdedah dengan perbuatan seumpama itu (buli), jadi saya serahkan kepada pihak Mara untuk mengambil sebarang tindakan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI