fbpx

Beribu Rasa simbolik kebangkitan Bob Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOB YUSOF

BOB YUSOF. Sepotong nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia sebagai salah seorang penyanyi lelaki yang memiliki kehebatan vokal.

Alunan mantap suara pemilik nama lengkap Yusrizan Yusof itu sememangnya diakui ramai pihak.

Kali terakhir nama penyanyi kelahiran Limbang, Sarawak itu disebut-sebut ketika dia menggantikan posisi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Anta Permana di Anugerah Juara Lagu ke-34 tahun lalu.

Kemudian namanya kembali menyepi. Hilang entah ke mana. Faktor lain yang ‘menghanyutkan’ nama Bob daripada radar dunia seni apabila negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga memberi kesan terhadap perjalanan kariernya.

Penyanyi berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengakui, apa yang dilaluinya merupakan pengalaman dan pelajaran paling berharga sepanjang bergelar anak seni.

Meskipun perit, Bob tetap bersyukur kerana dapat melalui situasi tersebut dengan hati terbuka meskipun ada kalanya ‘sesak’ untuk mencari pendapatan sepanjang fasa berkenaan.

“Saya percaya ramai yang terkesan dengan situasi pandemik. Ada yang hilang pekerjaan, mengalami tekanan perasaan. Tak kurang juga ada rumah tangga bergoncang kerana hilang pendapatan dan sebagainya.

“Tapi saya bersyukur kerana dapat melalui fasa getir tersebut dan tidak terperangkap dengan emosi sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, paling diingati apabila dia tidak dapat pulang beraya di kampung halamannya di Limbang sejak dua tahun lalu. Baginya, itu merupakan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupnya.

Paling menyentuh hati Bob apabila tidak dapat menziarahi pusara ibunya dalam tempoh berkenaan.

“Baru-baru ini saya ada pulang ke kampung tapi masih tidak dapat ke pusara ibu memandangkan belum dibenarkan menziarahi. Sebab kawasan tersebut menjadi pusara untuk mangsa Covid-19.

“Saya memang sedih tapi reda dengan keadaan tersebut. Tak apalah, saya kirimkan sahaja doa bagi mengubat kerinduan yang tak berpenghujung,” kata Bob lagi.

Pengubat duka

Mengubat segala kedukaan yang dilalui sebelum ini, Bob tampil dengan sebuah lagu berjudul Beribu Rasa sebagai buah tangan terbaharunya buat peminat.

Lagu tersebut sudah tersedia dalam semua platform digital pada 3 Disember lalu berserta video muzik menerusi saluran YouTube, Bob Yusof Channel.

Lagu yang dicipta Ajai dan lirik oleh Slen Fadzil berkenaan merupakan simbolik buat dirinya yang berjaya melepasi segala kekalutan setelah mengharungi tempoh sukar.

“Kita tak boleh bersedih dan kena bangkit. Dengan terhasilnya lagu ini, akan mengubat rindu peminat. Pada masa sama menjadi semangat kepada saya untuk terus maju dalam bidang seni.

“Sebenarnya tema yang dipilih juga kena dengan situasi semasa. Ada segelintir lelaki yang mengalami episod putus cinta dan ditinggalkan kekasih tetapi masih juga mahukan orang yang sama. Itu kisah yang diangkat dalam lagu ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, lagu Beribu Rasa merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI