fbpx
LOJI PRS di Simpang Renggam menjadi salah satu simbol kepakaran Ranhill dalam mengurus bekalan air.

Loji Sistem Rawatan Pencemaran (PRS) atasi masalah pencemaran ammonia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERPUTUS bekalan air bukanlah satu masalah baharu dan boleh dikatakan sering dihadapi masyarakat di negara ini.

Malah, ada sesetengah kawasan kerap mengalami masalah tersebut apabila loji rawatan air terpaksa ditutup akibat insiden pencemaran ammonia yang boleh memberi kesan kepada kualiti sumber air mentah.

Pencemaran ammonia akibat pembuangan sisa itu berpotensi mengakibatkan sungai yang menjadi punca bekalan air penduduk tidak selamat untuk digunakan. Pencemaran ammonia boleh berpunca daripada banyak sebab terutamanya melalui tapak pelupusan sampah.

Sekiranya dibiarkan berterusan akan menyebabkan bahan kimia itu menjadi toksik berikutan tahap kepekatannya terlalu tinggi.

Mengikut piawaian, paras ammonia ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bersesuaian untuk kegunaan manusia adalah pada paras 1.5 bahagian per juta (ppm).

Pencemaran ammonia pada kadar yang tinggi telah menyebabkan banyak loji rawatan air terpaksa ditutup lalu berlaku masalah bekalan air terputus.

Pengendali eksklusif perkhidmatan air di Johor, Ranhill Utilities Berhad (Ranhill) juga tidak terlepas dengan masalah sedemikian di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam.

Malah pada April 2019, penduduk di Simpang Renggam dan Pontian alami bekalan air apabila loji rawatan air di situ terpaksa ditutup akibat pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut.

WAI HAN (dua dari kanan) menunjukkan kolam takungan yang terdapat di PRS.

Bagi mengatasi masalah itu, Ranhill melalui anak syarikatnya, Ranhill Water Technologies Sdn. Bhd. (RWT) telah membangunkan loji Sistem Rawatan Pencemaran (PRS) di Simpang Renggam untuk menguruskan air yang tercemar dengan ammonia.

Ketua Pegawai Eksekutif RWT, Tin Wai Han berkata, sebelum loji ini dibina, proses rawatan air di loji Simpang Renggam sering terganggu kerana masalah pencemaran ammonia.

Menurutnya, berdekatan PRS ini terdapat satu bekas tapak pembuangan sampah dan setiap kali hujan lebat akan berlaku pencemaran ammonia di laluan Sungai Ulu Benut.

“Air dari sungai ini akan mengalir ke Loji Rawatan Air Simpang Renggam dan apabila pencemaran ini berlaku, kami perlu menutup loji dan kesannya sebelum ini ialah penduduk sekitar akan berhadapan masalah gangguan air.

“Sekiranya loji rawatan lambat ditutup, kesan pencemaran ammonia ini akan memasuki loji sekali gus akan mengganggu operasi,” katanya kepada media baru-baru ini.

Tambahnya, jika perkara itu berlaku, operasi loji terpaksa dihentikan untuk kerja pembersihan yang tentunya memerlukan masa dan kos tinggi.

Dengan pembinaan loji PRS, masalah pencemaran ammonia dapat diatasi sepenuhnya, sekali gus dapat mengatasi gangguan rawatan air di loji rawatan air di Simpang Renggam.

MOHD. SHARIZAN menerangkan mengenai sistem yang diterapkan pada loji PRS kepada para media yang mengikuti lawatan ke PRS Simpang Renggam, Johor baru-baru ini.

Penduduk sekitar juga dapat menarik nafas panjang dan mereka sudah tidak perlu berhadapan dengan masalah gangguan bekalan air lagi.

Sementara itu, Wai Han berkata, loji PRS itu mula dibina pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada tahun 2019.

“Sebelum ini kita sering berhadapan dengan insiden gangguan pada loji rawatan air di Simpang Renggam kerana masalah ini.

“Dengan kepakaran yang kita ada, kami membangunkan loji PRS ini yang dapat menyelesaikan 100 peratus masalah pencemaran ammonia di kawasan itu,” tegasnya.

Dalam pada itu, jelas Pengurus Projek Kanan RWT, Mohd. Sharizan Ibrahim, loji PRS itu mempunyai sistem yang mampu mengurangkan tahap ammonia dalam air daripada 500ppm kepada 10ppm, sebelum ia diproses pula oleh loji LRA ke paras yang lebih rendah untuk mencapai piawaian ditetapkan bagi kegunaan manusia.

Menurutnya, kapasiti air yang boleh diproses oleh loji PRS itu adalah pada kadar 1,000 meter padu sehari.

“Sistem ini akan berfungsi secara automatik apabila terdapat limpahan air di kawasan berdekatan apabila hujan lebat. Kita juga menggunakan alat pengesan automatik di mana air yang berkepekatan ammonia melebihi 10ppm akan disekat dan perlu melalui proses rawatan terlebih dulu sebelum dilepaskan semula ke sungai diikuti proses seterusnya di loji rawatan air,” terangnya.

Tambahnya, sistem itu juga boleh berfungsi 24 jam sehari. Dengan sistem itu, air yang dicemari ammonia akan melalui beberapa proses untuk mengurangkan tahap ammonia.

Melalui sistem itu, kolam takungan utama akan berperanan mengumpul limpahan air yang berlaku di situ apabila hujan lebat.

TAPAK pelupusan sampah merupakan antara sumber pencemaran ammonia.- Gambar Hiasan

Jika paras ammonia di bawah 10ppm, pintu takungan akan dibuka dan air itu akan dilepaskan ke sungai tetapi jika paras ammonia melebihi 10ppm secara automatik pintu takungan itu akan ditutup dan air dalam kolam takungan itu akan ke bahagian seterusnya iaitu ke tangki tindak balas kimia.

“Kemudian, akan ada campuran bahan kimia untuk proses ini bagi membenar air larut lesap mengalami tindak balas pembekuan. Seterusnya kita laksanakan proses penjernih plat excel bagi proses dinamakan pemberbukuan dan pemendapan larut lesap,” terangnya.

Kemudian proses seterusnya adalah untuk melaraskan pH air yang dijernihkan dengan menambah Soda Kaustik (NaOH). Bagi proses seterusnya, sistem itu akan singkirkan ammonia menggunakan angin. Sistem itu akan menghasilkan gas ammonia yang kemudian melalui sistem ‘scrubber’ untuk meneutralkan kembali gas itu.

“Kita tidak melepaskan gas ammonia itu keluar dan tidak akan ada pencemaran berlaku sebaliknya ada sistem yang akan neutralkan kembali gas tersebut untuk digunakan semula.

“Bahan yang tercemar itu pula akan terperangkap di dalam bekas khas yang kemudian akan diuruskan pihak yang sepatutnya,” ulasnya.

Selepas itu katanya, air akan mengalir secara graviti ke tangki pelarasan pH untuk proses seterusnya.

Akhir sekali, air yang telah melalui proses untuk menyingkirkan ammonia akan mengalir ke tangki air pelepasan untuk dilepaskan semula ke sungai.

“Tetapi di tangki pelepasan ini, kita juga mempunyai sistem automatik yang akan mengukur tahap ammonia.

“Jika paras ammonia masih melebihi 10ppm, air itu tidak akan dilepaskan keluar sebaliknya akan masuk semula ke dalam sistem untuk diproses sekali lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN