fbpx

Perkeso jalin kerjasama bantu rawatan pencarum hidapi HIV, AIDS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adeeba Kamarulzaman (dua dari kiri), dan Mohammed Azman (dua dari kanan), pada Majlis Jalin Kerjasama Strategik Laksana 'Prevention and Disability Management Program untuk Golongan ODHA, di Pusat Perubatan Universiti Malaysa, di sini hari ini. -FOTO: SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalinkan kerjasama dengan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) bagi membina hubungan strategik yang akan memanfaat dan memperkasakan Orang Yang Hidup Dengan HIV atau AIDS (ODHA) daripada kalangan pencarum Perkeso.

Kerjasama itu dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh Pengerusi MAF, Prof Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Perkeso juga telah memberikan sumbangan berjumlah RM276,000 kepada Skim Bantuan Perubatan atau Skim PAL di bawah kelolaan MAF untuk membiayai rawatan second-line Antiretroviral Therapy (ARV) yang dijangka dapat menampung kos rawatan yang diterima oleh pencarum.

Mohammed Azman berkata, melalui MoU itu kedua-dua agensi akan bekerjasama melaksanakan ‘Prevention and Disability Management Program’ yang merangkumi pelaksanaan inisiatif pengurusan hilang upaya yang komprehensif dan dinamik.

“Program itu juga meliputi inisiatif pencegahan dan promosi kesihatan, khusus buat golongan ODHA dari kalangan pencarum Perkeso dengan matlamat memberikan mereka sinar baharu dan kehidupan yang lebih baik.

“Sumbangan kami menerusi Skim Bantuan Perubatan (Skim PAL) juga adalah manifestasi keyakinan kami terhadap potensi dan keupayaan golongan ODHA untuk pulih dan kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, Adeeba pula berkata, sokongan Perkeso terhadap program Skim Bantuan Perubatan MAF membantu mencapai sasaran untuk mengakhiri epidemik AIDS menjelang tahun 2030, yang amat bergantung rawatan ARV.

“ARV merupakan senjata paling efektif untuk kita menghalang kesan negatif jangkitan virus HIV dalam tubuh badan manusia. Dengan ARV, jangkitan HIV yang dahulunya dianggap sebagai hukuman maut kini berubah menjadi pengalaman hidup yang menghampiri normal.

“MAF juga amat mengalu-alukan pendekatan progresif Perkeso terhadap ODHA di tempat kerja, yang diharapkan akan dapat menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih meluas untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap golongan ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI