fbpx

Paku aji laut terancam, dalam Senarai Merah Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POKOK paku aji laut mendapat permintaan tinggi sehingga mampu dijual pada harga RM6,000 sepokok. - Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Perbuatan mengambil pokok paku aji laut yang terdapat di dalam Hutan Simpan Pulau Tenggol, Dungun bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah dikhuatiri boleh membawa kepada kepupusan spesies tumbuhan itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr Jamilah Mohd Salim @ Halim berkata, pokok paku aji laut atau nama saintifiknya, Cycas clivicola disenaraikan sebagai salah satu tumbuhan terancam dalam Senarai Merah Malaysia.

Beliau berkata, aktiviti mengutip tanpa kawalan dari habitat asal tumbuhan itu untuk dijadikan tanaman hiasan boleh mengganggu ekosistem pokok itu.

“Pokok paku aji laut merupakan spesies pokok purba dan mempunyai biji benih yang tidak dilindungi dalam struktur buah.

“Pembiakannya memerlukan induk betina dan jantan dengan biji benihnya disenyawakan menerusi sebaran angin,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jamilah berkata, perbuatan mengasingkan induk jantan dan betina menerusi penjualannya sebagai pokok hiasan boleh menyebabkan spesies itu tidak mampu membiak lagi.

Jelas beliau, kehadiran induk jantan dan betina yang tidak mencukupi di habitat asalnya juga menyukarkan spesies itu menghasilkan generasi baharu sekali gus diancam kepupusan.

“Sehubungan itu, aktiviti kutipan tanpa kawalan di Pulau Tenggol perlu dihentikan apatah lagi ia dilakukan di kawasan hutan simpan yang jelas menyalahi undang-undang.

“Saya percaya perbuatan mengambil pokok paku aji laut semakin berleluasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran permintaan tinggi dan kekurangan bekalan pokok hiasan dari luar negara khususnya Thailand,” katanya.

Jamilah berkata, pokok paku aji laut sukar diperoleh di Terengganu, tetapi spesies lain daripada kumpulan tumbuhan sama se­perti Cycas edentata boleh didapati di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Setiu.

“Pokok paku aji laut atau Cycas clivicola tumbuh di kawasan batu kapur dan turut didapati di utara tanah air iaitu Perlis, Kedah dan Perak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI