fbpx

216 individu sertai parti liar di kolam renang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amihizam ketika ditemui pemberita sebaik selesai serbuan di sebuah kelab persendirian terkemuka di Bukit Kiara semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 216 individu ditahan ketika sedang leka berparti di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di Bukit Kiara di sini, malam tadi.

Serbuan pada pukul 10.30 malam itu telah dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields diketuai Timbalan Ketua JSJ Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor.

Difahamkan, setiap individu akan dikenakan bayaran sebanyak RM60 untuk menyertai parti liar tersebut sebelum dijemput menerusi aplikasi media sosial selain disediakan menyediakan minuman keras dan makanan ringan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 303 individu dan menahan 216 daripadanya.

“Kesemua yang diperiksa terdiri daripada 55 wanita dan 161 lelaki warga asing manakala 87 individu adalah warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua individu yang diperiksa didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu berkumpul di suatu tempat hingga menyukarkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya turut mengeluarkan kompaun terhadap penganjur dan pengunjung yang bernilai RM1,565,000.

“Kita telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM50,000 kepada penganjur manakala pengunjung tempatan seramai 87 orang dikenakan kompaun sebanyak RM435,000. Pengunjung warga asing seramai 216 pula telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,080,000.

“Keseluruhan kompaun dikeluarkan ialah RM1,565,000. Kesemua 216 individu warga asing yang ditangkap kemudian dibawa balik ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22(b) Akta 342, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 2) 2021 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI