fbpx
BMW 218i Gran Coupe M Sport merupakan sebuah jentera sedan kompak yang sporty dalam segmen C.

Gaya urban sedan kompak BMW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA Oktober tahun lalu, BMW Malaysia telah memperkenalkan model 218i untuk pasaran negara ini sebagai sebuah sedan kompak premium berkonsepkan coupe di Pavilion Kuala Lumpur.

BMW 218i merupakan sebuah kenderaan sedan empat pintu dengan rekaan sporty dalam segmen C yang bersaing dengan Mercedes Benz CLA.

Model yang dipasang di Malaysia itu mengetengahkan gaya hidup urban yang selalu dikaitkan dengan rekaan gaya tersendiri.

Hanya satu varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia buat masa ini iaitu BMW 218i Gran Coupé M Sport.

Sejarah BMW Group yang sekian lama diwarnai dengan kejayaan kini dirancakkan lagi oleh kenderaan-kenderaan premium serba kompak, sporty dan dinamik yang telah memberi nafas baharu kepada industri automotif premium dunia.

REKA bentuk belakang kenderaan yang cukup dinamik dan berprestasi tinggi ini kelihatan kemas dan sofistikated.

BMW 218i Gran Coupé M Sport ini mempersembahkan kepakaran tersebut dalam era baharu termasuk penerapan gaya abad ini dengan dinamik pemanduan bersifat emotif dan inovasi perintis.

Kereta coupe ini hadir dengan jeriji hadapan kidney rekaan tiga dimensi yang baharu dan dipadankan dengan lampu hadapan LED serta lampu kabus LED yang langsing.

Reka bentuk aerodinamik juga membekalkan pusat graviti yang rendah, manakala pintu hadapan dan belakang yang tidak berbingkai menyerlahkan seni reka bentuknya yang sempurna.

Jentera ini menggunakan rim aloi M berukuran 18 inci dengan tayar runflat bersaiz 22/40. Pada bahagian belakang pula terletak satu set lampu belakang LED langsing yang dihubungkan oleh jalur hitam berglos tinggi.

Model ini juga hadir dengan pakej M Aerodynamics sebagai standard, berserta dengan Garisan Bayang (Shadow Line) BMW Individual berglos tinggi.

Nadi penggerak jentera ialah enjin petrol tiga silinder dengan kapasiti 1.5 liter yang berkuasa tinggi dan efisien bagi kegunaan harian.

Untuk pengetahuan pembaca, BMW 218i Gran Coupé M Sport merupakan coupe BMW kompak yang pertama memanfaatkan penempatan enjin secara melintang.

Kuasa disalurkan melalui transmisi dwiklac Steptronic tujuh kelajuannya mampu menghasilkan kuasa maksimum 140hp pada 4,600 hingga 6,500rpm dan tork maksimum 220Nm pada 1,480 hingga 4,200rpm.

Penulis difahamkan kenderaan ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 8.7 saat dan kelajuan tertinggi yang dicatatkan di atas kertas ialah 213km/j.

RIM aloi M berukuran 18 inci digunakan pada rodanya.

Penggunaan bahan api yang direkodkan untuk kenderaan pacuan roda hadapan ini ialah 5.9 liter untuk jarak perjalanan 100 kilometer (km).

Seperti BMW 1 Series, BMW 218i Gran Coupé M Sport juga hadir dengan pacuan roda hadapan (FWD) oleh BMW dengan menggandingkan dinamik pemanduan berkelas tinggi dan ruang kabin yang lebih besar.

Penyumbang utama dalam aspek pengendalian FWD yang cemerlang ialah teknologi ARB (near-actuator wheel slip limitation) yang membenarkan intervensi kawalan lebih pantas dan sensitif, di samping meminimumkan sensitiviti pembelokan rendah (understeer) yang biasanya membelenggu kenderaan FWD.

Teknologi ARB ini menampilkan sistem kawalan gelincir yang terletak di dalam unit kawalan enjin. Ia mewujudkan jarak signal yang lebih singkat dengan output enjin yang akan dikurangkan jika wujud potensi kegelinciran pada roda hadapan.

Ruang kabin BMW 218i Gran Coupé M Sport menampilkan ciri sofistikated dengan kelasakan dan kemewahan penampilan eksteriornya dicerminkan dari dalam.
Gran Coupé baharu membawakan kemasan trim beriluminasi dalam Illuminated Boston dan sumber cahaya LED melalui Lights Package untuk memperkayakan ambien ruang kabin.

Kulit stereng M yang berciri multifungsi, kerusi kulit dengan upholsteri Leather Dakota dan sistem penyaman udara automatik dua zon membekalkan pengalaman pemanduan yang selesa.

Sementara itu, pada minggu lalu, bagi menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan, BMW Malaysia telah mengumumkan BMW 218i Gran Coupé generasi baharu yang dipasang di dalam negara dihadirkan dengan pengemaskinian teknikal dalam bentuk sistem maklumat hiburan BMW Live Cockpit Professional.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, BMW Live Cockpit Professional baharu menekankan komitmen pihaknya terhadap digitalisasi dan individualisasi merentasi seluruh portfolio BMW.

“Sewaktu kami terus menyuntik nafas kepada mobiliti masa hadapan di Malaysia, inovasi akan kekal menjadi fokus utama di BMW.

“Ia dicerminkan menerusi pengemaskinian produk kami yang terbaharu yang akan turut melibatkan model-model dan fungsi-fungsi lain yang akan datang, sekali gus menaik taraf lagi pengalaman pemanduan buat para pelanggan kami di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Garaj.

REKAAN dalamannya yang mempunyai karakter senada dengan rupa luarannya.

Tambahnya, BMW Live Cockpit Professional yang dimuatkan dalam BMW 218i Gran Coupé baharu kini meliputi kluster paparan instrumen 10.25 inci (sebelum ini cuma 5.1 inci) dan paparan informasi sentral 10.25 inci (sebelum ini 8.8 inci).

“Kedua-duanya dirumus menggunakan konsep paparan baharu yang bertujuan membekalkan maklumat tepat dan relevan dengan segera.

“Keupayaan individualisasi turut dipermudahkan dengan opsyen konfigurasi yang lebih luas untuk memperibadikan dan memperkaya pengalaman pemanduan pengguna,” tambahnya.

Jelasnya, sistem baharu itu memaparkan informasi secara serba minimalis dan jitu.

“Paras bahan api, kelajuan, rpm, dan suhu enjin kini dipamerkan dalam bentuk tiub gelung dan telah disusun bagi melapangkan kawasan di tengah untuk paparan navigasi serta fungsi lain.

“Turut menyempurnakan pengalaman pemanduan pengguna ialah aneka fungsi dan widget yang boleh dikonfigurasi. Ia termasuk papan skor sukan, data pemanduan, penggunaan bahan api dan efisiensi, meter daya G, media serta radio,” ujarnya.

Jumlah warna yang dikurangkan serta grafik yang kini lebih kemas menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang lebih baik dan konsisten.

Bergantung kepada mod pengalaman pemanduan yang dipilih (Sport, Comfort, Eco-Pro), warna yang seragam akan dipersembahkan merentasi kluster paparan informasi serta paparan informasi pusat.

Demi kemudahan tambahan dan kuasa sepenuhnya ke atas tetapan sistem navigasi dan hiburan kenderaan tersebut, Pembantu Peribadi Pintar BMW boleh diaktifkan dengan menyebut “Hai BMW!” atau istilah pengaktifan lain yang telah diperibadikan.

Dengan Balloon Financing Plan ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 218i Gran Coupé baharu ini boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula RM2,268 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh lima tahun).

Pemilik jentera BMW 218i Gran Coupé baharu ini juga dapat merasai Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia meliputi waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun oleh BMW serta program servis.

Harga jualan bagi BMW 218i Gran Coupé baharu tanpa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) dengan waranti lanjutan dan pakej servis ialah RM216,367, manakala BMW 218i Gran Coupé Baharu tanpa waranti lanjutan dan pakej servis ialah RM204,177.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN