fbpx

Arif Aiman dipilih MVP Liga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelab JDT bolot lapan trofi pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK) yang dilangsungkan secara virtual sebentar tadi.

PEMAIN muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual sebentar tadi.

Paling menarik, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya Safawi Rasid melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.

Arif yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih selain turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik, Arif menafikan cabaran dua lagi calon akhir, Darren Lok (PJ City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) manakala bagi kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia mengatasi dua calon dari Selangor FC Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Bagaimanapun, Arif tidak keseorangan membawa pulang trofi ABK21 ke kem JDT apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik buat kali kedua selepas 2017 apabila menewaskan Quentin Cheng (Penang FC) dan Daniel Ting (Kuala Lumpur City FC).

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias pula mengatasi pencalonan pemain PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United) untuk merekod gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keenam selepas 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.

Manakala Kuala Lumpur City yang mencipta kejutan menjuarai Piala Malaysia turut cemerlang di pentas ABK21 apabila Bojan Hodak menerima Anugerah Jurulatih Terbaik mengatasi pencabar Benjamin Mora (JDT) dan Nafuzi Zain (Terengganu FC).

Sementara itu, kapten Kedah Darul Aman FC Baddrol Bakhtiar yang mengumumkan perpindahan ke Sabah FC musim depan meraih kejayaan berganda apabila membawa pulang trofi Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super menerusi jaringan tujuh gol.

Bagi kategori Pemain Tengah Terbaik, Baddrol mengetepikan cabaran dua pemain JDT, Afiq Fazail dan Natxo Insa.

Turut diumumkan Skuad Projek FAM-MSN yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Premier diberikan Anugerah Fair Play musim ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI