fbpx
Petugas JPJ sedang melakukan pemeriksaan terhadap lori yang ditahan dalam Ops PeWA, hari ini.

JPJ sita lori kontraktor pembersihan dipandu warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG – Sejumlah 25 kenderaan termasuk lima lori milik syarikat kontraktor pembersihan yang dipandu warga asing disita dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di sekitar daerah ini, hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd. Zaki Ismail berkata, sebanyak 144 notis saman dikeluarkan dan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

“Sepanjang operasi kita turut mengesan pelbagai kesalahan dilakukan warga asing antaranya tiada lesen memandu kompeten (CDL), tidak mempunyai lesen vokasional (PSV/GDL), insurans kenderaan tamat tempoh, kesalahan teknikan dan lain-lain.

“Seramai 29 pemandu warga asing terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Indonesia turut ditahan Jabatan Imigresen (JIM) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi dijalankan bertujuan mengesan kesalahan pemandu dan kenderaan terutama warga asing yang tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Tindakan boleh diambil terhadap pemilik kenderaan, yang mana bagi kenderaan yang disita pemilik kenderaan sendiri perlu hadir ke JPJ.

“Oleh itu, pemilik kenderaan dinasihatkan untuk tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing,” ujarnya. -K!ONLINE.

POPULAR