fbpx

Pembangunan pesat punca banjir kilat di bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUJAN lebat yang turun secara berterusan boleh menyebabkan banjir kilat.

KEJADIAN banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar bukanlah satu masalah baharu yang kita hadapi pada masa kini.

Banyak kejadian banjir kilat berlaku tanpa sebarang amaran menyebabkan masyarakat terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat menyelamatkan harta benda mereka kerana ia terjadi dengan cepat.

Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Haryati Shafii berkata, sejak kebelakangan ini, trend kejadian banjir kilat terutamanya di kawasan bandar semakin menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, intensiti hujan yang tinggi, kawasan pembangunan padat, sistem saliran tidak diselenggara dengan baik serta masalah pencemaran longkang dan saliran dilihat menjadi penyumbang utama kepada masalah itu.

“Kawasan bandar seperti Shah Alam, Selangor dan Batu Pahat, Johor merupakan antara contoh bandar  yang telah mengalami fenomena banjir kilat yang teruk.

“Kejadian banjir kilat biasanya dikaitkan dengan hujan lebat di kawasan bandar.

“Ia boleh berlaku sama ada di pusat bandar ataupun melibatkan kawasan perumahan di sekitar bandar,” jelasnya.

Menurutnya yang juga merupakan Penyelidik Utama, Pusat Pengurusan Alam Sekitar dan Infrastruktur Mampan (CSIEM) universiti itu, hujan lebat selama beberapa jam, kawasan lembah dan berturap, bangunan yang padat serta sistem saliran kurang baik menyebabkan kawasan itu mudah ditenggelami air.

Walaupun banjir kilat biasanya cepat surut, namun kesannya mengakibatkan kerugian harta benda yang bukan sedikit kepada masyarakat.

Selain itu, ia boleh mengundang trauma kepada mangsa terlibat.

BANJIR kilat boleh berlaku dalam tempoh yang sangat cepat apabila hujan turun secara berterusan.

Banjir kilat dikategorikan sebagai bencana alam kerana ia memberi kesan kepada kehidupan manusia secara langsung seperti kematian, kerosakan tempat tinggal, kenderaan, kemusnahan hasil pertanian, perniagaan atau kerosakan infrastruktur.

Dalam pada itu, jelas Dr. Haryati, bencana alam dipengaruhi dua sebab iaitu faktor semula jadi dan manusia.

“Faktor semula jadi seperti perubahan monsun dan tiupan angin sukar untuk dikawal, manakala faktor manusia seperti kepincangan perancangan guna tanah di bandar memberi implikasi besar kepada struktur tanah,” terangnya.

Dalam dasar perancangan guna tanah untuk pembangunan dan penerokaan di kawasan sensitif mengundang kepada bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pencemaran kualiti air.

Pada asasnya, interaksi antara manusia dengan alam sekitar secara mampan dapat mengekalkan kelestarian alam.

Namun, sekiranya pembangunan yang dijalankan oleh manusia mengetepikan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam, manusia seolah- olah mengundang bencana kepada kehidupan mereka.

Dalam keadaan semula jadi, alam sekitar dapat menyerap sebarang pencemaran sekiranya berlaku pada kadar minimum.

Bagaimanapun, jika ia berlaku secara melampau, alam sekitar akan ‘memulangkannya’ semula dalam bentuk bencana kepada manusia dan persekitaran.

Sebagai contoh, kejadian banjir kilat merupakan antara bentuk bencana yang ‘dipulangkan’ oleh alam sekitar kepada manusia ekoran perancangan dan pencemaran secara melampau.

“Kejadian bencana alam seperti banjir kilat biasanya berlaku apabila adanya pertentangan antara proses biofizikal dengan tindak balas manusia yang mempunyai kadar ketidakseimbangan tinggi.

“Ekosistem adalah interaksi antara manusia dan alam sekitar yang bertindak balas terhadap persekitaran.

Sebarang perubahan yang meninggalkan kesan negatif kepada ekosistem akan meruncingkan tindak balas antara manusia dan persekitaran,” ulas Dr. Haryati lagi.

Pembangunan pesat di kawasan bandar seringkali mengabaikan aspek pengurusan alam sekitar.

Aktiviti pembangunan pesat seperti bangunan perniagaan, pejabat, rumah kedai dan kawasan perumahan menyebabkan bandar menjadi ‘hutan batu’ dan tepu. Kawasan hijau menjadi semakin mengecil dan landskap bandar turut diturap dengan tar.

PEMBANGUNAN di kawasan bandar yang tidak terkawal boleh menyebabkan banjir kilat berlaku.

Longkang dan parit menjadi semakin kecil dan penuh dengan sampah serta tidak diselenggara dengan sewajarnya.

Keadaan seperti ini boleh menyumbang kepada kejadian banjir kilat apabila hujan lebat walaupun dalam tempoh singkat.

Air hujan tidak dapat meresap ke dalam tanah dengan pantas kerana landskap bandar telah berturap.

Air seterusnya mengalir laju dan membanjiri kawasan lembah.

Justeru, kekerapan kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar perlu dikaji dan langkah-langkah bagi mengelakkannya daripada berulang perlu dilakukan segera.

Pihak pembuat dasar dan kerajaan tempatan harus mengambil inisiatif berkesan bagi menangani masalah ini daripada terus berlaku.

Masyarakat bandar khususnya, perlu sedar bahawa pencemaran alam sekitar seperti membuang sampah ke dalam longkang dan sistem saliran menjadi punca kepada banjir kilat di kawasan mereka.

Oleh itu, mereka perlu dididik dengan diberi pengetahuan tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.

Daripada perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa kawasan bandar telah dibangunkan secara keterlaluan tanpa memikirkan keseimbangan ekosistem bandar itu sendiri.

Keadaan yang semakin tidak terkawal itu akhirnya mewujudkan bencana yang memberi kesan kepada kesejahteraan hidup masyarakat bandar secara keseluruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI