fbpx
HIDUP Fatah tertekan selepas pelabur di bawah namanya meminta wang faedah yang dilabur dalam skim cepat kaya. – GAMBAR HIASAN

Penangan skim cepat kaya, hilang saudara, rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMEMANGNYA di zaman serba memerlukan wang untuk setiap urusan kehidupan, ramai yang terpedaya dan gelap mata dengan pelbagai skim yang menjanjikan kemewahan tidak masuk akal.

Ramai yang gelap mata dengan pulangan lumayan yang dijanjikan tanpa mempedulikan nasib malang yang bakal menimpa di kemudian hari.

Itulah bahana menyertai skim cepat kaya seperti yang dipaparkan dalam kolum Pengakun minggu ini yang bukan sahaja kehilangan wang, malahan harga diri turut tergadai akibat dicemuh sanak saudara dan rakan-rakan yang turut menjadi mangsa penipuan.
———————————————————————————————————————————
MESKIPUN sudah 15 tahun peristiwa itu berlalu, namun ia masih menjadi ‘barah’ yang perlu ditanggung oleh Fatah (bukan nama sebenar).

Semuanya gara-gara skim cepat kaya sehingga menyebabkan dia ‘tersangkut’ hutang lebih RM100,000 kepada 10 individu lain termasuk ahli keluarga terdekat.

Penglibatan lelaki berusia 55 tahun itu dalam skim cepat kaya bermula selepas melihat rakan sepejabatnya menjalani hidup diluar kemampuan.

Ekoran itu, Fatah yang bekerja di sebuah syarikat swasta dipelawa menyertai skim piramid tersebut dengan pelaburan sebanyak RM20,000 sebagai permulaan.

Menerusi pelaburan berkenaan, membolehkan Fatah mendapat faedah lumayan iaitu sekitar RM1,000 sebulan dalam tempoh dua tahun.

“Saya sanggup mengeluarkan duit simpanan masa depan untuk melabur di dalam skim tersebut. Saya melabur di bawah nama rakan sepejabat.

“Faedah yang dijanjikan sangat lumayan dan berbaloi untuk melabur. Kalau simpan dalam bank, mustahil untuk dapat faedah sebanyak itu,” katanya.

Pada lima bulan pertama, segala pembayaran berjalan cukup lancar seperti dijanjikan membuatkan Fatah lebih bersemangat.

Lelaki berasal dari Pahang itu mula mencari pelabur berpotensi untuk membuat pelaburan di bawah namanya, sekali gus membolehkannya menjana faedah lumayan.

Bagi menyakinkan pelabur baharu, Fatah menunjukkan penyata kewangannya yang menunjukkan kemasukan faedah bulanan selama tiga bulan.

“Saya perlu cari pelabur baharu untuk berada di bawah nama saya. Ia salah satu cara bagi meningkatkan jumlah faedah saya setiap bulan.

“Bagi menyakinkan pelabur baharu, saya perlu menunjukkan sedikit kemewahan. Jadi, saya menukar kereta lebih mahal menggunakan faedah diperoleh,” katanya.

Hasil usaha itu, Fatah telah berjaya mendapatkan jumlah pelaburan sebanyak RM100,000 yang terdiri daripada orang di sekelilingnya.

RAMAI terpedaya dengan skim cepat kaya selepas dijanjikan pulangan lumayan setiap bulan. –GAMBAR HIASAN

Malah, bapa saudara dan adiknya turut melabur sejumlah wang di dalam skim tersebut selepas terpengaruh dengan kehidupan mewah yang dikecapinya.

“Pelaburan ini datang daripada kawan-kawan dan ahli keluarga seramai 10 orang. Ada yang melabur antara RM5,000 hingga RM20,000 seorang mengikut kemampuan.

“Ada yang sanggup meminjam wang daripada bank dan peminjam tidak berlesen semata-mata untuk mendapat faedah dijanjikan,” imbaunya.

Sebagai balasan berjaya mendapatkan pelabur baharu, dia berpeluang mendapat imbuhan sebanyak RM4,000 setiap bulan selama dua tahun.

Disebabkan gelap mata dengan semua itu, Fatah mengambil keputusan ‘berani mati’ untuk berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada skim tersebut.

Pada bulan pertama dan kedua, dia dan pelabur-pelabur di bawah namanya mendapat faedah seperti dijanjikan oleh penganjur skim cepat kaya.

Memasuki bulan ketiga, bayaran faedah bulanan mula dibayar lewat dengan alasan ada masalah teknikal dalam proses pembayaran.

Sehinggalah bulan keempat, bayaran faedah yang dijanjikan tidak dibayar, malah penganjur skim juga gagal dihubungi.

Fatah kemudian pergi ke pejabat penganjur skim berkenaan, namun dia dimaklumkan telah ditutup hampir dua minggu.

“Ketika itu, saya berasa sangat cemas kerana wang dijanjikan tidak dapat. Malah, kawan-kawan dan ahli keluarga mula menuntut faedah mereka.

“Ada antara pelabur yang meminta saya memulangkan wang pelaburan mereka. Ketika itu, saya betul-betul tertekan.

“Saya tidak dapat membayar balik duit pelaburan mereka. Wang saya juga diambil oleh penganjur. Sudahlah kerja pun tidak ada ketika itu,” katanya.

Rentetan itu, Fatah mengambil keputusan untuk berpindah ke Kedah dengan tujuan melarikan diri daripada pelabur yang ingin meminta kembali wang mereka.

“Saya betul-betul menyesal menyertai skim cepat kaya. Disebabkan itu, saya hidup terbuang, selain hilang pekerjaan dan rakan-rakan,” sesalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN