fbpx
PERJALANAN jauh yang terpaksa ditempuh pemandu lori mendorong mereka mengambil dadah untuk mendapatkan tenaga tambahan. – GAMBAR HIASAN

‘Tiada syabu, tiada pendapatan lebih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Trend pe­ngambilan dadah dalam kala­ngan pemandu lori di negara ini bukanlah perkara baharu, sebalik­nya kegiatan tidak berfaedah itu seperti menjadi keperluan dalam kalangan kumpulan ber­kenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menerusi pendedahan se­orang pemandu kenderaan berat yang mahu dikenali sebagai Razak, 45, lelaki itu mengaku mereka sanggup menghabiskan sebanyak RM2,500 sebulan semata-mata untuk mendapatkan ‘tenaga tambahan’ melalui pengambilan dadah.

Menurut Razak, dia biasa­nya akan membeli dadah jenis ­metha­m­phetamine atau syabu memandangkan bahan itu konon­nya berupaya memberi tenaga selain mampu menghilangkan mengantuk terutamanya ketika memandu pada waktu malam.

Razak yang berasal dari daerah ini dan telah lebih 5 tahun menjadi pemandu treler berkata, tugasan hakikinya adalah dengan memuat dan menghantar barang ke selatan tanah air.

“Dadah jenis syabu memang menjadi kegemaran ramai pemandu terutamanya yang melibatkan pemanduan jarak jauh.

“Ia merangsang tenaga kita menyebabkan pemandu tidak me­ngantuk ketika bertugas pa­da waktu malam. Selain itu, pihak berkuasa juga sukar untuk mengesan penggunan dadah jenis ini kerana ia tidak melibatkan kesan sampingan jangka panjang seperti mana pengambilan heroin, morphin, ganja serta air ketum atau ‘cakoroi’ yang boleh menyebabkan lalok,” katanya.

Berita Berkaitan: Ambil dadah untuk kejar trip

Dakwa lelaki itu lagi, dia mula terlibat mengambil syabu pada tahun 2018 selepas teruja melihat banyak pemandu kenderaan berat sepertinya memperoleh pendapatan lumayan.

“Gaji pokok yang diperoleh sekitar RM1,500 sebulan, tetapi kekerapan menghantar barang­an membolehkan kami mendapat tips tambahan berlipat kali ganda sehingga mampu meraih pendapatan antara RM4,000 ke RM5,000 sebulan.

“Keadaan ini membuatkan saya mula mengambil dadah untuk melakukan kerja lebih masa atau kejar trip,” dakwanya.

GAMBAR HIASAN

Kata Razak, selepas hampir empat tahun mengambil syabu, dia kini merupakan penagih te­gar selain terpaksa menghabiskan RM50 untuk membeli dadah bagi satu trip perjalanan.

“Biasanya, saya akan melakukan perjalanan ulang-alik ke selatan tanah air sebanyak 25 kali sebulan dan ini bermakna, saya perlu belanjakan RM2,500 sebulan untuk membeli bahan terla­rang itu

“Jika saya tidak ‘kena’ syabu, saya akan keletihan dan tidak mampu memandu untuk jarak jauh.

“Lagipun, saya hanya berseorangan dan tidak mempunyai pemandu ganti,” katanya yang mengaku memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan ketika ini.

Razak berkata, sepanjang ber­kerja sebagai pemandu kenderaan berat dan terlibat dalam pengambilan dadah, dia tidak pernah ditahan pihak berkuasa.

“Ahli keluarga juga tidak tahu saya mengambil dadah selama ini kerana saya banyak menghabiskan masa di atas kende­raan dan hanya pulang ke rumah se­minggu sekali.

“Bagaimanapun, saya ber­azam untuk berhenti menjadi pemandu dalam masa terdekat kerana kehidupan saya kini telah porak-peranda berikutan sudah ketagihan dadah,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN