fbpx

Polis cari penyebar gambar kejadian bunuh di Flat Ashby

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar gambar tular di media sosial yang mendakwa polis tidak mengambil tindakan meleraikan pergaduhan yang menyebabkan seorang lelaki terbunuh di Flat Jalan Ashby di Ipoh semalam.-Foto MEDIA SOSIAL

IPOH – Polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab merakam dan menyebar gambar kejadian seorang lelaki mati dalam pergaduhan di pasar pagi dekat Flat Jalan Ashby di sini semalam.

Gambar kejadian yang memperlihatkan polis seolah-olah tidak mengambil tindakan meleraikan pergaduhan itu mendapat pelbagai respon negatif warga maya.

Rata-rata mereka mengecam tindakan polis yang kononnya tidak berusaha menghentikan perbuatan suspek yang sedang memaut leher mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, satu laporan telah dibuat oleh pegawai polis terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, siasatan dan pengesanan individu-individu yang merakam gambar kejadian sedang dijalankan.

“Bertindak atas maklumat awam, pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian dan berjaya meleraikan pergaduhan sekali gus membuat tangkapan terhadap semua suspek.

“Bagaimana pun, gambar yang tular di media sosial seolah-olah pihak polis tidak meleraikan pergaduhan itu.

“Tindakan pemilik akaun media sosial berkenaan dengan memberi kenyataan berunsur negatif tanpa mengetahui fakta sebenar adalah tidak bertanggungjawab dan dikesali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Yahaya, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Tegas beliau, perbuatan menyebarkan kenyataan tidak benar dan tohmahan lalu tular di media sosial hingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dikhuatiri menjejaskan reputasi dan kredibiliti polis.

“Polis ingin menegaskan, undang-undang sentiasa dikuatkuasakan dengan adil dan profesional khususnya dalam mengendali situasi kecemasan yang melibatkan nyawa.

“Orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI