fbpx
Mazlan mendengar penerangan daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkembangan projek perumahan polis di IPD Maran, di Maran hari ini.

PDRM cadang sewa rumah untuk anggota dan pegawai di Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat cadangan kepada kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyewa rumah dengan pihak luar bagi kemudahan pegawai rendah polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, cadangan itu sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah kuarters tidak mencukupi terutama di Lembah Klang.

“Jika mahu membina kuarters akan mengambil masa lama, jadi menyewa rumah dari pihak swasta lebih sesuai buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Maran, di sini, hari ini.

Katanya, untuk permulaan, pihaknya telah menghantar cadangan kepada KDN untuk menyewa sebanyak 220 unit rumah kepada pegawai rendah di Lembah Klang dan jika ada keperluan mungkin boleh diperluaskan ke negeri lain yang mempunyai bandar besar pada masa akan datang.

“Di Kuala Lumpur, kos menyewa rumah sangat tinggi dan elaun perumahan yang diterima anggota hanya RM300 dan langkah ini penting sebagai kebajikan kepada anggota,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, lawatan kerja beliau ke Pahang lebih memfokuskan kebajikan warga PDRM termasuk pesara, balu dan anak yatim kepada bekas polis.

“Selain itu, saya juga membuat lawatan ke projek perumahan pegawai rendah PDRM di IPD Maran di sini yang sebelum ini terbengkalai namun kini sudah hampir siap dan dijangka akan boleh didiami awal tahun depan.

“Projek perumahan sebanyak 60 unit termasuk surau dan rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) membabitkan kos asal sebanyak RM11.9 juta dan kos baik pulih sebanyak RM1.8 juta,”ujarnya. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN