fbpx

Pasangan kembar teruja raikan majlis graduasi bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan kembar seiras, Norhidayati dan Norhidayani (kiri) serta dua beradik, Rabi'atul Adawiyah Salleh dan Ainun Mardiyah Salleh.

PETALING JAYA – Sepasang kembar seiras teruja meraikan majlis graduasi mereka bersama pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-22 di Tanjung Malim, Perak hari ini.

Pasangan tersebut, Noorhidayati Misman, 24, (kakak) dan Noorhidayani Misman, 24, (adik) merupakan antara penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Kepujian) Fakulti Sains Kemanusiaan pada majlis konvokesyen yang berlangsung bermula 20 November lalu sehingga esok.

“Kami seronok apabila dapat naik ke pentas menerima ijazah bersama-sama. Dijadikan cerita, pada asalnya ketika kami mengisi borang permohonan sambung pengajian suatu ketika dahulu, masing-masing tak jangka langsung memilih jurusan yang sama.

“Namun, rezeki kami ditawarkan jurusan pengajian sama UPSI, malah susunan kelas dan jadual pengajian pun sama hingga ke tamat pengajian pada hari ini,” jelas Noorhidayani menerusi satu kenyataan dikeluarkan UPSI hari ini.

Pasangan dari Sungai Besar, Selangor itu bercita-cita menjadi pendidik dalam bidang pengajian Islam selain aktif dalam program persatuan, menjadi rakan exco kolej kediaman serta sering menyertai program universiti hingga ke peringkat antarabangsa.

Norhidayati yang meraih anugerah dekan setiap semester sebanyak lapan kali berturut-turut berpendapat amalan menguruskan masa dan jadual dengan bijak selain menyertai pelbagai aktiviti anjuran universiti menjadi resepi kejayaan.

“Kami juga memegang satu prinsip ketika berada di menara gading, kami mahu banggakan kedua ibu bapa kami kerana kami bukanlah daripada keluarga yang senang,”kata Norhidayati.

Berikutan penangguhan sesi Istiadat Konvokesyen tahun lalu akibat pandemik Covid-19, pasangan kembar seiras itu bekerja sambilan sementara menunggu panggilan penempatan bertugas sebagai guru sekolah.

Norhidayati bertugas sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat Industri Kecil Sederhana di Sabak Bernam, Selangor manakala Norhidayani pula bekerja sambilan sebagai perunding produk kecantikan.

Sementara itu, turut bergraduasi bersama adalah pasangan adik-beradik Rabi’atul Adawiyah Salleh, 35 dan Ainun Mardiyah Salleh, 29, yang merupakan anak keempat dan keenam daripada tujuh orang adik beradik.

Mereka yang merupakan penerima Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia menyifatkan doa ibu bapa dan keluarga adalah pendorong kepada kejayaan dikecapi.

“Syukur Alhamdulillah akhirnya kami dapat menamatkan pengajian bersama-sama. Kadang-kala bila fikirkan betapa letihnya perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim hingga adakalanya tiba lewat malam pulang ke rumah.

“Segala pengorbanan suami dan keluarga mengurus anak-anak serta penat lelah kami akhirnya dibalas dengan segulung ijazah yang cukup bermakna,” jelas Rabi’atul Adawiyah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI