fbpx

Burung albatros ‘curang’ kerana perubahan iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebiasaannya, apabila burung albatros menemui pasangan yang sesuai, ia akan kekal dengan haiwan tersebut untuk sepanjang hayatnya. - Francesco Ventura

LISBON, PORTUGAL – Satu kajian baharu mendapati perubahan iklim telah menjadi penyebab kepada ‘perceraian’ dalam kalangan pasangan burung albatros yang selama ini dikenali sebagai antara hidupan paling setia di alam ini, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Royal Society itu mengkaji kira-kira 15,500 pasangan burung tersebut di Kepulauan Falkland dalam tempoh 15 tahun. 

Perpisahan yang dimaksudkan adalah kerana ‘curang’ bagi istilah manusia, di mana salah seekor daripada pasangan haiwan itu mengawan dengan burung albatros yang lain.

Ini kerana kebiasaannya, apabila burung albatros menemui pasangan yang sesuai, ia akan kekal dengan haiwan tersebut untuk sepanjang hayatnya.

Ini menjadikan hanya kira-kira satu peratus burung albatros berpisah dengan pasangannya.

Bagaimanapun, kajian terbaharu yang dijalankan itu mendapati bahawa kadar tersebut telah meningkat kepada lapan peratus dalam persekitaran yang mempunyai suhu lebih panas.

Menurut penyelidik di Universiti Lisbon dan penulis bersama kajian tersebut, Francesco Ventura, terdapat dua teori yang boleh menyokong hasil kajian tersebut, iaitu pertama, ia disebabkan oleh ‘hubungan jarak jauh’.

“Hal ini kerana suhu air yang lebih panas telah memaksa burung albatros untuk memburu lebih lama dan jauh. Apabila ia pulang pada musim mengawan, pasangannya mungkin telah ‘curang’ dengan pasangan baharu,” jelas Ventura.

Tambahnya, teori kedua adalah hormon tekanan burung albatros meningkat dalam persekitaran yang lebih sukar seperti apabila air menjadi lebih panas.

“Dengan situasi pembiakan yang lebih sukar dan kesukaran mencari makanan, ia akan menambah lagi tekanan pada burung albatros.

“Ini telah menyebabkan ia dipersalahkan atas ‘prestasi teruk’ dalam hubungan, sekali gus menyebabkan perpisahan,” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI