fbpx

Tikam, penyelesaian 24 jam misteri pembunuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA Tikam sudah pun ditayangkan sejak 3 November lalu menerusi saluran Astro Ria (104) setiap hari Rabu pukul 9.30 malam.

DALAM tempoh 24 jam, sekumpulan pekerja di sebuah syarikat hartanah harus mencari dalang di sebalik kejadian pembunuhan salah seorang staf yang ditemui mati di dalam biliknya.

Demikian jalan cerita yang diketengahkan dalam sebuah drama rantaian baharu bergenre jenayah thriller berjudul Tikam yang diterbitkan Gempak Original Series.

Drama tersebut menyorot kisah penemuan mayat Shahrol di syarikat BD Property dan ketika itu, hanya enam orang pekerja masih berada di situ iaitu Akma, Ed, NJ, Ika, Mike dan Sap.

Idea asal dan skrip drama bersiri lapan episod berkenaan diilhamkan oleh tenaga kreatif Gempak yang terdiri daripada Sham Hashim, Akmal Nahar dan Lemuel Ong dengan sokongan penulis skrip naskhah popular Angkara Cinta, Rehal Nuharis.

DALAM Tikam, misteri pembunuhan Shahrol lakonan Fahrin (dua dari kiri) menjadi intipati utama yang diketengahkan kepada penonton.

Drama yang diterbitkan oleh syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd. berkenaan diarahkan oleh pengarah prolifik Michael Ang yang bertindak selaku penerbit.

Kerja pengarahan Michael yang turut menjayakan watak pelakon pembantu dalam drama tersebut dibantu oleh Hadith Omar.

Klimaks drama Tikam bergantung kepada keunikan jalan cerita yang padat dengan ‘plot twist’ untuk menimbulkan unsur spekulasi dan saspens dalam kalangan penonton.

Lebih menarik, drama tersebut menampilkan barisan pelakon hebat dan popular seperti Fahrin Ahmad yang memegang watak sebagai Shahrol, Ben Amir (NJ), Intan Najuwa (Akma), Michael (Mike), Jasmin Hamid (Madam Joan), Yuna Rahim (Ika), Ellyas Abdullah (Sap) dan Josiah Lim (Ed).

Pilihan

Menurut Ketua Kandungan Studio Astro, Syazwan Zakariah, dalam usaha untuk terus konsisten menghasilkan karya-karya berkualiti yang menarik dan menjadi sebutan, kali ini Gempak Original Series menampilkan genre jenayah.

“Meskipun menjadi antara genre yang jarang diketengahkan dalam siri drama tempatan, tetapi cerita sebegini sering menjadi pilihan penonton.

“Selain mempertaruhkan nama-nama besar sebagai bintang utama, kekuatan naskhah ini bergantung kepada sudut penceritaan dan intipatinya yang padat dengan misteri dan susunan momentum ‘plot twist’ yang mendebarkan untuk menguji minda audiens,” katanya.

NASKHAH jenayah thriller ini menyaksikan kerjasama julung kali antara Intan Najuwa (kiri) dengan Michael Ang selepas dua kali kolaborasi antara mereka sebelum ini tidak menjadi.

Sementara itu menurut Michael, dia menyifatkan drama Tikam memberi impak bermakna dan amat mengujakan buat dirinya meskipun sudah lama bergiat aktif dalam dunia pengarahan.

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan projek yang hanya memfokuskan kepada satu lokasi untuk keseluruhan cerita.

“Dalam menghasilkan karya seperti ini, cabarannya amat besar kerana memerlukan idea kreatif dan di luar kotak demi menyuntik kelainan,” ujarnya.

Penggambaran drama Tikam dilakukan selama 12 hari secara tertutup di Phileo Damansara kerana terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tikam sudah pun ditayangkan sejak 3 November lalu menerusi saluran Astro Ria (104) setiap hari Rabu pukul 9.30 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI