fbpx
DI bengkel AIDIAIDA, Ara Damansara para wanita berpeluang mengikuti kelas bertukang.

Kelas pertukangan khusus wanita pertama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUNJUNGAN K2 ke bengkel pertukangan ADIAIDA yang terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor disambut mesra oleh pemiliknya yang merupakan sepasang suami isteri, Shafril Hadi Kamal, 42, dan Aida Ihsani, 31.

Sambil mempersilakan masuk, lelaki yang lebih mesra disapa Adi ini membawa kami meninjau bahagian belakang bengkel menempatkan kelas pertukangan lengkap dengan perkakas bertukang dan kayu-kayan.

Bukan kelas pertukangan biasa, menariknya ia merupakan kelas pertukangan khusus buat golongan wanita dan diuar-uarkan sebagai yang pertama kali diwujudkan di negara ini.

Janggal tetapi teruja. Mana tidaknya, kebiasaannya apabila melibatkan kaum Hawa, kelas-kelas seperti menjahit, memasak dan gubahan bunga lebih dikaitkan dengan golongan ini memandangkan dunia pertukangan sejak dahulu lagi begitu sinonim dengan lelaki.

Begitupun realitinya, kerja-kerja sebegitu sebenarnya boleh sahaja dilakukan oleh kaum Hawa. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan harian masa kini yang mana golongan wanita cenderung untuk bertukang memasang sendiri perabot yang dibeli dari gedung perabot terkemuka.

Justeru, atas dasar mahu menerapkan ilmu pertukangan asas kepada kaum Hawa, pasangan suami isteri ini mengambil inisiatif menganjurkan kelas pertukangan buat wanita sejak awal September 2019.

ADI dan Aida menggunakan kaedah lebih santai ketika berkongsi ilmu pertukangan bersama golongan wanita. – Foto AFIQ RAZALI

Sehingga kini seramai 300 wanita telah menyertai kelas pertukangan dianjurkan ADIAIDA.

“Saya berpegang pada perumpamaan Inggeris yang bermaksud, jika kita memberi seseorang seekor ikan, ia dapat memberinya makan untuk hari itu, tetapi jika kita ajar bagaimana untuk menangkap ikan, kita memberinya makan seumur hidup.

“Jadi, saya mahu bantu individu meneroka pengalaman dan kemahiran pertukangan untuk dipraktikkan dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Mahir dalam ilmu pertukangan dan begitu bersemangat mahu mendedahkan ilmu tersebut kepada golongan wanita, kelas tersebut diusahakan oleh mereka sepenuhnya tanpa bantuan tenaga pengajar mahupun pekerja lain.

Kelas pertukangan khusus untuk wanita itu dilaksanakan pada hujung minggu dan pihak ADIAIDA akan menyebarkan makluman mengenai projek-projek pertukangan yang ditawarkan menerusi media sosial mereka.

Bercerita lanjut, Adi berkata, dia dan isteri sebelum ini datang daripada latar belakang berbeza.

Adi banyak berkecimpung dalam kerja-kerja korporat, selain pernah mempunyai firma pengiklanannya sendiri, manakala Aida pula graduan jurusan undang-undang dan sebelum ini aktif dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Malah, kedua-duanya tidak pernah menyangka akan menjadi tukang kayu. Begitupun akui Adi, sejak lapan tahun lalu, dia begitu gemar menonton YouTube berkisar dunia pertukangan.

Setiap hari, dia menghabiskan empat hingga lima jam untuk melihat dan mempelajari ilmu pertukangan.

Minat Adi dan isteri dalam dunia pertukangan semakin bercambah sebaik kedua-dua mereka menjadi sukarelawan membina rumah untuk Orang Asli.

SEBAHAGIAN daripada 300 wanita yang telah mengikuti kelas pertukangan kelolaan Adi dan Aida.

Lantaran itu pada tahun 2016, Adi mula mendaftarkan syarikatnya yang mana pada waktu itu hanya memfokuskan penghasilan perabot-perabot yang dihasilkannya sendiri.

Berjinak-jinak dalam dunia pertukangan biarpun datang daripada latar belakang berlainan dan tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang ini melainkan pembelajaran di media sosial, namun itu bukanlah penghalang buat pasangan ini untuk terus mara ke depan.

Bukan sahaja berjaya menghasilkan perabot tempahan orang ramai, mereka bahkan berjaya menjalankan bengkel pertukangannya sendiri.

“Tiga tahun pertama, memang kami memfokuskan pembuatan perabot dan kebanyakannya adalah tempahan daripada keluarga dan kenalan terdekat.

“Sedikit demi sedikit kami mula membuka kelas pertukangan dan dimulakan dengan kanak-kanak. Pada waktu itu, kami bermula dengan home-school kids iaitu pergi dari rumah ke rumah untuk mengajar.

“Bagaimanapun, pada tahun 2017 kami mula buat kelas percubaan untuk wanita bagi meninjau permintaannya. Pada awalnya, kami mahu jalankan kelas untuk orang dewasa, tetapi mengecilkan skop dan kaum wanita telah dipilih.

“Begitupun, kami merasakan ia bukanlah waktu yang sesuai untuk menjalankan kelas pertukangan sedemikian sehinggalah pada September 2019 apabila kami nekad melancarkan kelas pertukangan wanita pertama di negara ini,” ceritanya.

Tambah Aida, dia percaya ramai wanita yang berminat untuk mempelajari ilmu pertukangan.

Bagaimanapun, ketiadaan tempat untuk bereksperimentasi dengan perkakas-perkakas, menyebabkan niat tersebut terbantut.

INDIVIDU diajar kaedah pertukangan asas dan tidak memerlukan penggunaan perkakas rumit.

Justeru, menerusi bengkel tersebut, mereka akan diperkenalkan dan diberi tunjuk ajar dengan perkakas-perkakas pertukangan secara selamat, selain kaedah membina sendiri perabot secara Do It Yourself sepanjang tempoh empat jam kelas dijalankan dengan bayaran serendah RM250.

Pembelajaran terbahagi kepada dua tahap iaitu kelas asas dan kelas atas.

Kelas tersebut bukan sahaja membolehkan individu mempelajari kemahiran baharu, bahkan membawa pulang produk yang dibuat.

“Kebanyakan modul pengajaran pertukangan adalah membuat perabot berasaskan organizer. Kami juga tidak membebankan mereka dengan perkakas-perkakas berat, sebaliknya yang asas dan mudah didapati apabila mereka pulang ke rumah.

“Sebagai contoh kelas asas, individu didedahkan dengan teknik pengukuran, menukul dan pelbagai perkara asas lain, manakala untuk kelas atas barulah kami mendedahkan mereka dengan penggunaan alat dan teknik lebih rumit.

“Paling penting, apa yang dipelajari di sini boleh dipraktikkan sendiri sebaik pulang ke rumah dan mereka tidak perlu membeli perkakas pertukangan yang mahal kerana semuanya boleh dilakukan sendiri menggunakan bahan asas sahaja,” tambahnya.

Teknik pembelajaran yang digunakan pasangan suami isteri ini disifatkan santai dan menarik berdasarkan pengalaman mereka sendiri.

“Pertukangan secara teknikal turut didedahkan cuma ia dilakukan dengan lebih menarik secara tidak formal menerusi kaedah bercerita dan tidak berpandukan buku semata-mata.

“Mereka juga berpeluang belajar daripada pengalaman bertukang tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” jelasnya.

Bukan sekadar tempat menimba ilmu, kelas pertukangan ADIAIDA juga dilihat menjadi platform bagi golongan wanita terutamanya kaum ibu berkumpul dan bersosial antara satu sama lain.

Aida menjelaskan, biarpun kelas pertukangan itu hanya sempat dijalankan selama enam bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, namun ramai yang terus menunjukkan minat dan kini kelas sudah diadakan semula.

Wanita daripada pelbagai latar belakang telah menyertainya antaranya suri rumah, warga emas dan wanita berkerjaya.

Bermula dengan bengkel pertukangan wanita, mereka mula mendapat permintaan untuk menganjurkan kelas secara berpasangan pula.

“Ramai yang menunjukkan minat dengan kelas ini dan mereka mahu melakukan aktiviti bertukang dengan pasangan masing-masing.

“Justeru, bermula dengan bengkel untuk wanita, kami kini turut meluaskan skop bengkel secara duo misalnya suami dan isteri, ibu dan anak atau individu bersama kenalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN