fbpx

Puteri Aishah sah bergelar isteri ahli perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Aishah selamat melangsungkan majlis pernikahan dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus

PETALING JAYA – Pelakon jelita, Puteri Aishah, 27, selamat melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus, 28, di Ballrooms JW Marriot Kuala Lumpur sekitar pukul 11.15 pagi tadi.

Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman dinikahkan oleh jurunikah, Ustaz Mohd. Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapanya, Sulaiman Abd. Rahman.

Dalam majlis tersebut, Puteri Aishah menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Pelakon filem Pulang itu berkata, dia sudah lama menantikan saat untuk bergelar seorang isteri dan berharap ikatan perkahwinan yang dibina akan berkekalan hingga akhir hayat.

“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik Covid-19. Saya bersyukur apabila impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak tercapai.

“Saya dan suami juga memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan artis yang lain atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Bercakap tentang sifat suaminya yang dicintai, Puteri Aishah mengakui bahawa lelaki itu memiliki setiap ciri lelaki idamannya.

“Sepanjang dua tahun mengenali Firdaus, saya menyukai keperibadiannya. Dia seorang yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu.

“Malah, dia juga sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia juga sudah bagi ‘lampu hijau’ bahawa saya boleh teruskan kerjaya ini (lakonan) selama mungkin yang saya mahu,” katanya.

Majlis yang diadakan secara sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu menyaksikan Puteri Aishah dan Firdaus mengenakan busana berwarna putih rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini.

Dalam pada itu, majlis resepsi pasangan bahagia itu pula akan diadakan di lokasi sama malam ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI