fbpx

‘Seorang dapat satu sahaja minyak masak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fauzi menunjukkan minyak masak peket yang semakin berkurangan di kedai sekitar Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Peniaga kedai runcit di sekitar bandar raya ini mengeluh selepas bekalan minyak masak peket semakin berkura­ngan sehingga menyebabkan pe­langgan terpaksa mencari bahan masakan itu di daerah lain.

Tinjauan Kosmo! di beberapa buah kedai mendapati peniaga terpaksa melakukan catuan dengan seorang pelanggan hanya boleh membeli satu peket berbanding dua sebelum ini.

Seorang peniaga, Mohd. Asrul Ahmad, 61, berkata, sebelum ini dia mendapat bekalan 400 kilogram (kg) minyak masak peket setiap minggu daripada pemborong.

“Bagaimanapun sejak dua minggu lalu pemborong hanya memberi 200kg sahaja dan situasi menyebabkan saya terpaksa mencatu bekalan kepada pelanggan,” katanya di sini semalam.

Bercerita lanjut, Mohd. Asrul berkata, masalah bekalan minyak masak masak peket berlaku sejak orang ramai dibenarkan rentas negeri dan mula membuat majlis perkahwinan.

Luahan sama turut disuarakan seorang lagi peniaga, Mohd. Romli Arshad, 52, yang memaklumkan ramai pelanggannya terpaksa ke luar daerah untuk mendapatkan bekalan bahan masak tersebut.

“Saya difahamkan ramai pe­langgan terutama yang berniaga kuih-muih dan goreng pisang terpaksa membeli minyak masak pada harga RM2.70 sekilogram berbanding harga kawalan RM2.50 sekilogram.

“Mereka tiada pilihan dan terpaksa membelinya untuk kegunaan berniaga,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak kerajaan memandang serius perkara itu dengan turun padang memantau harga daripada pembekal atau kilang supaya masalah berkenaan tidak berlarutan lebih lama.

Sementara itu, Pengerusi Pemantau Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohd. Fauzi Sharip berharap orang ramai membeli minyak masak peket mengikut keperluan supaya tidak menimbulkan belian panik dalam kalangan pengguna.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengatasi masalah mi­nyak masak peket ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI