HYUNDAI-Sime Darby Malaysia (HSDM) baru-baru ini telah melancarkan secara rasmi model kenderaan pelbagai guna (MPV) terbaharu, Hyundai Staria sebagai pesaing dalam kelompok MPV premium.
Model tersebut disasarkan sebagai kenderaan penumpang dengan ciri-ciri mewah dan moden. Kehadiran model ini juga secara tidak langsung akan memberi saingan kepada Toyota Alphard dan Vellfire yang dibawa masuk UMW Toyota.
Sebenarnya ketika mula-mula gambar model ini tersebar, ramai yang menyangka MPV bersaiz besar ini merupakan kenderaan konsep tetapi Hyundai berjaya mengeluarkannya sebagai kenderaan produksi.
MPV lima pintu itu pertama kali dilancarkan di Thailand pada bulan Julai tahun lalu. Ia dibina berasaskan Hyundai Starex tetapi menggunakan pacuan roda hadapan berbanding Hyundai Starex roda belakang.
Untuk pasaran Malaysia, HSDM hanya menawarkan varian tertinggi untuk pelanggan-pelanggan.
Model yang ditawarkan juga merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari negara Korea Selatan.
Rupa paras pada bahagian luaran Staria agak futuristik. Jika kita lihat pada bahagian depan, jeriji gril bersaiz besar digabungkan atau diapit lampu utama dan lampu penanda arah jenis Dual LED (Low and High Projection), manakala lampu siang (DRL) memanjang memberikan imej tersendiri.

Pada bahagian sisi, MPV ini menampilkan tingkap yang bersaiz besar serta rim bersaiz 18 inci dengan rekaan tersendiri yang membuatkan ia kelihatan cukup unik.
Bahagian belakang pula menyaksikan rekaan lampu jenis LED panjang dari atas sampai bawah menggunakan rekaan lampu Parametric Pixel.
Ukuran panjang Hyundai Staria dari depan sampai belakang ialah 5,253 milimeter (mm), manakala lebar 1,997mm dan tinggi 1,990mm.
Dengan jarak antara roda 3,273mm membolehkan ruang penyimpanan di bahagian belakangnya mampu mencapai sehingga 5,000 liter.
Varian yang dibawa masuk HSDM ini hadir dengan enjin 2.2L Turbodiesel CRDi dan menggunakan transmisi lapan kelajuan automatik dengan pedal penukar gear.
Gandingan tersebut mampu untuk menghasilkan kuasa maksimum 177PS pada 3,800rpm dan tork maksimum 431Nm pada 1,500 hingga 2,500rpm.
Hyundai turut menawarkan empat pilihan mod pemanduan seperti Smart, Normal, Eco dan Sport.

Sistem suspensi hadapan Hyundai Staria pula menggunakan MacPherson Struts, manakala di bahagian belakang menggunakan Multi-link.
Varian tunggal Hyundai Staria yang ditawarkan HSDM ini menggunakan konfigurasi tujuh tempat duduk yang merupakan varian tertinggi dalam kelasnya.
Apa yang menarik, tempat duduk baris kedua MPV ini turut menawarkan Premium Relaxation Seats yang boleh dibaringkan.
Kerusi tempat duduk boleh dikendalikan secara elektrik dan manual.
Pada bahagian pemandu, model itu hadir dengan skrin paparan digital bersaiz 10.25 inci di hadapan pemandu.
Turut sama melengkapkan bahagian ruang papan pemuka ialah skrin infotainment bersaiz lapan inci.
Skrin infotainment itu menyokong USB, Android Auto dan Apple CarPlay serta sistem audio premium Bose.

Hyundai Staria turut menawarkan ruang simpanan yang banyak termasuk konsol tengahnya yang turut disertakan dengan pemegang cawan serta ruang simpanan. Sekadar makluman, MPV ini menawarkan sehingga 18 pemegang cawan.
Model ini turut menyediakan beberapa slot untuk mengecas iaitu di tiga bahagian dalam kenderaan MPV ini selain slot pengecasan telefon pintar tanpa wayar di papan pemuka.
Antara ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan Hyundai Staria seperti enam beg udara, bantuan mengikut laluan (LFA), kamera keliling, titik buta, lintasan trafik belakang dan bantuan elak perlanggaran depan.
Ciri keselamatan lain ialah bantuan pengekalan laluan (LKA), kawalan jelajah pintar, bantuan keluar selamat, amaran tumpuan pemandu dan sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS).
Selain itu, bakal pemilik MPV premium ini boleh memilih tujuh warna luar dan dua jenis kemasan antara dark chrome atau brass chrome. Empat pilihan warna ditawarkan untuk bahagian dalaman seperti coklat, hitam, kelabu dan biru.
Memandang MPV ini menawarkan pakej kustom dan diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, pelanggan perlu menunggu antara tiga hingga enam bulan untuk mendapatkannya.
HSDM menawarkan Staria dengan dua pilihan harga iaitu pertama, RM358,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan waranti selama dua tahun atau 50,000 kilometer atau mana-mana tiba dahulu.
Pilihan yang kedua pula pada harga RM368,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan waranti selama lima tahun atau 300,000 kilometer atau mana-mana tiba dahulu serta percuma servis penyelenggaraan selama tiga tahun atau 50,000 kilometer.
















