fbpx

Kompaun bukan kerana pakai logo parti, tetapi langgar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar hantaran di Twitter Fahmi Fadzil.

MELAKA – Polis negeri menegaskan kompaun yang dikeluarkan terhadap seorang individu kononnya disebabkan memakai baju logo parti sehingga tular di laman sosial adalah tidak benar, sebaliknya disebabkan dia telah melanggar Akta 342.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, individu tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 selepas dikesan menganjurkan program jelajah mesra (walkabout) parti berkenaan.

Katanya, tindakan itu secara langsung melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan sebarang jelajah mesra untuk berkempen.

“Kita tidak menghalang mana-mana individu memakai pakaian berlogo parti sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Kompaun itu dikeluarkan kerana individu tersebut telah melanggar Akta 342 kerana telah menganjurkan atau mengikuti program jelajah mesra calon dengan memakai baju lambang Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Tambahnya, kompaun itu juga dikenakan selepas pasukan pemantau sosial media mengesan satu hantaran mengenai kejadian tersebut menerusi akaun Facebook dan Twitter menggunakan nama Fahmi Fadzil.

Gambar tersebut menunjukkan jentera parti itu berkumpul di kedai makan beramai-ramai dengan memakai ves logo parti yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kejadian itu dipercayai berlaku pada 10 November dan pasukan pemantau membuat laporan pada pada pukul 6.44 pagi tadi sebelum kertas siasatan dibuka bagi membolehkan individu terbabit dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR membuat hantaran di Twitter ‘Gila, pakai lambang Pakatan Harapan pun kena kompaun, sebab lambang kan sebar virus. Cuma bukan virus covid, tapi virus demokrasi. Itu virus yang mereka paling takut.’

Mengulas lanjut, Abdul Majid turut menggesa mana-mana pemimpin atau individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut tampil membuat laporan dan tidak hanya mengambil kesempatan melakukan serangan politik di media sosial.

“Sekiranya tidak puas hati dengan tindakan polis, janganlah guna media sosial atau pemberita semata-mata kerana itu hanya akan menimbulkan kekeliruan serta menyebabkan rakyat membuat interpretasi sendiri.

“Buatlah laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuaaan (EAIC) kalau, biar suruhanjaya itu pula yang jalankan siasatan terhadap kami,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong turut mendakwa, polis negeri ini melarang pekerja parti memakai baju dengan logo parti di tempat awam dan mengehadkan hanya tiga orang sahaja untuk melakukan kerja memacak bendera. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI