fbpx

Bank Rakyat serah sumbangan kepada 200 buah sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil Bank Rakyat menyerahkan sumbangan kepada kakitangan Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Manaf, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bank Rakyat telah menyerahkan 4,000 pensanitasi tangan dan 400 alat pemegang pensanitasi tangan berpedal kepada 200 sekolah terpilih di seluruh negara.

Penyerahan yang telah dilaksanakan sejak akhir September lalu telah bermula di sekolah-sekolah sekitar Johor Bahru dan Skudai, Johor; Ayer Molek dan Kampung Duyong, Melaka; Seremban, Senawang dan Nilai, Negeri Sembilan; Sungai Petani, Kedah serta Kepala Batas, Georgetown dan Bayan Baru, Pulau Pinang.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, inisiatif ini menunjukkan komitmen berterusan bank untuk membantu membendung risiko penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak.

“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain warga emas, kanak-kanak me­rupakan antara golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak Covid-19, justeru, ini­siatif ini sebagai salah satu usaha bank mencegah penularan wabak dalam kalangan pelajar bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka dapat dite­ruskan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berharap, sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu sekolah memenuhi keperluan pengurusan wabak Covid-19 di sekolah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) .

“Pihak kami berharap pensanitasi tangan ini digunakan sebaik mungkin untuk kegunaan warga sekolah dan pada masa yang sama dapat kita terapkan aspek norma baharu kehidupan menerusi kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan diri dalam kalangan pelajar sekolah,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI