fbpx

Kilang PPE Iconic Medicare beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEAN TET (dua dari kiri, depan) menunjukkan tanda bagus sambil memegang produk sarung tangan di kilang Iconic Medicare di Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.

PETALING JAYA – Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) melalui anak syarikat milik penuhnya Iconic Medicare Sdn. Bhd. yang terbabit dalam pembinaan fasiliti pengeluaran peralatan perlindungan diri (PPE) dan sarung tangan bakal menambah enam barisan pengeluaran menjelang akhir tahun ini.

Kilang bernilai RM200 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang itu telah beroperasi dengan melibatkan empat barisan pengeluaran yang menghasilkan pembentuk sarung tangan berganda.

Fasiliti berkenaan dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran minimum sebanyak 3.3 bi­lion sarung tangan dan 220 juta keping pelitup muka ­perubatan setahun.

Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, menjelang suku pertama tahun depan, keseluruhan 12 barisan pengeluaran pembentuk sarung tangan berganda dan 20 barisan pengeluaran pelitup muka perubatan bakal beroperasi sepenuhnya.

“Kami menjangkakan, permintaan ke atas PPE kekal mampan meskipun pasca pandemik Covid-19 berikutan norma baharu dan kesedaran awam terhadap keperluan perlindungan diri serta amalan penjagaan kebersihan.

“Walaupun purata harga jualan sarung tangan menyusut, harga bahan mentah juga telah merosot sekitar 70 peratus, jadi kami yakin dapat mengekalkan angka pendapatan bersih.

“Tambahan pula, Kumpulan akan meneroka kemungkinan menghasilkan getah nitril buta­diene (NBR) di Malaysia untuk memenuhi permintaan pasaran bagi bahan mentah ini,” kata­nya dalam satu kenyataan semalam.

Mengenai bisnes sarung ta­ngan getah dan pelitup muka ­perubatan, Kean Tet menerangkan, pihaknya berkeyakinan terhadap industri tersebut dan Iconic Medicare telah mempelbagaikan rangkaian produk pelitup muka perubatan dengan menghasilkan jenis pelitup muka seperti alat perlindungan pernafasan KF99 dan KN99.

Produk tersebut juga hadir dengan struktur pelitup muka 3D untuk perlindungan lebih bersesuaian dan perlindungan berganda yang mana meningkatkan prestasi penapisan keseluruhan.

“Kami adalah syarikat pertama di Malaysia yang mengeluarkan pelitup muka kuprum oksida KF99 dan KN99 yang berkemampuan membunuh koronavirus seperti dibuktikan menerusi ujian makmal,” katanya.

Bagi pelitup muka, tumpuan kami adalah pasaran tempatan, namun kami juga akan meng­eksport produk tersebut ke luar negara bagi mewujudkan kemampanan perniagaan yang le­bih baik,” katanya.

Pengeluaran pelitup muka perubatan dijangka memberi sumbangan lebih signifikan kepada Kumpulan bagi tahun kewangan (TK) semasa, manakala pengeluaran sarung tangan pula hanya akan memberi sumbangan kepada syarikat menjelang akhir TK 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI