fbpx

Anak seksa jika pasangan cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

DALAM Islam, perkahwinan merupakan satu perkara yang amat digalakkan dan ia merupakan satu fitrah yang akan dilalui oleh semua manusia.

Kadangkala perkahwinan yang dibina atas dasar kasih dan sayang terlerai dengan perpisahan kerana hal-hal tertentu.

Berdasarkan laporan akhbar baru-baru ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, (JKSM) merekodkan sejumlah 86,468 kes perceraian berlaku pada awal tahun 2020 hingga bulan lalu.

Lima faktor utama yang membawa kepada berlakunya perceraian ialah tidak persefahaman, masalah kewangan, pengabaian tanggungjawab nafkah, hubu­ngan dengan pihak ketiga dan tekanan emosi.

Dalam pada itu, baru-baru ini ketika menghadiri solat Jumaat, penulis tertarik dengan khutbah bertajuk ‘Bahtera Kasih Menuju Bahagia’.

Khatib menjelaskan bahawa Islam melihat institusi kekeluargaan adalah sangat penting.

Menurutnya, perkara-perkara berkaitan dengan nikah dan cerai bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah dan remeh.

“Mengetahui hakikat kehidupan berkeluarga, Islam telah meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan agar bahtera perkahwinan dapat belayar de­ngan aman.

“Sekiranya badai melanda di tengah-tengah pelayaran, ­nakhoda tahu akan tugasnya untuk mengendali dan memandu bahtera tersebut agar selamat menuju ke destinasi,” katanya.

Khatib juga menerangkan bahawa semua pasangan suami isteri sangat mendambakan kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan.

Namun, hubungan yang terjalin kadang kala diuji dengan pelbagai ujian dan lebih parah jika berlaku perceraian.

Menurutnya, pelbagai punca yang boleh membawa kepada perceraian termasuk sebab-sebab remeh.

“Pada zaman siber dan teknologi ini juga, penggunaan media sosial jadi sebab ketega­ngan dalam perhubungan suami dan isteri.

“Hakikatnya media sosial memberi manfaat kepada kehidupan manusia, namun sekiranya ia disalahgunakan, ia turut menjadi punca keretakan rumah tangga,” ujarnya.

Tambahnya, pelbagai aplikasi media sosial boleh mendorong kepada perbuatan curang akibat percampuran secara maya antara lelaki dan wanita.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Norul­huda Sarnon@Kusenin berkata, realitinya perceraian boleh menyebabkan bebanan emosi kepada seluruh keluarga.

Menurutnya, bagi kanak-kanak, situasi itu boleh menjadi sesuatu yang menakutkan, mengelirukan dan mengecewakan.

“Pada fasa awal perceraian, ia boleh mencetuskan gangguan penyesuaian dan jika ia tidak ditangani, ia menjejaskan ke­sejahteraan mental kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang belum faham tentang perceraian akan mempersoalkan itu dan ini terutama apabila berada di dua rumah yang berbeza. Bagi kanak-kanak yang mula faham, kebimbangan akan terjadi dan jika di­biarkan tanpa ditenangkan oleh ibu bapa ia akan bertambah kusut,” jelasnya.

Tambahnya, dalam jangka masa panjang, banyak kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang ibu bapanya bercerai sering mengalami peningkatan dalam tingkah laku antisosial, delikuen, agresif dan juga ramai yang mengalami kebimbangan dan kemurungan.

Bagi ibu bapa yang bercerai akibat adanya orang ketiga atau kerana penderaan dalam rumahtangga, keadaan akan lebih kritikal kerana kanak-kanak menginjak remaja boleh membenci ibu atau bapa kerana melihat salah seorang sebagai mangsa kea­daan.-K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI