fbpx
SITI NORDIANA

Siti Nordiana hanya mahu bersihkan imej

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini, nama penyanyi Siti Nordiana sentiasa menjadi perbualan dan bahan perdebatan netizen.

Manakan tidak, isu dan perang kemelut peribadinya dengan lima sekawan lain bermula sejak pertengahan Julai lalu masih tergantung dan belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Terbaharu, pada pertengahan Oktober lalu, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana dan lima individu lain termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura sudah diberi peluang oleh mahkamah untuk menyelesaikan perang antara antara mereka secara baik.

Bagaimanapun, peluang bersemuka bertentang mata semasa proses mediasi 19 Oktober lalu disifatkan gagal.

“Sebelum ini mahkamah ada beri kami peluang untuk selesaikan masalah secara baik di luar mahkamah menerusi proses mediasi.

“Saya sendiri sudah beri peluang untuk sama-sama cuba selesaikan, tetapi sepanjang hampir tiga jam bertemu, tiada sebarang persetujuan atau kesepakatan dapat kami capai.

“Jadi, atas nasihat peguam, nak atau tak, saya terpaksa membawa kes ini ke peringkat seterusnya iaitu proses perbicaraan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

NANA akui sudah memberikan peluang buat semua pihak untuk menyelesaikan isu saman fitnahnya dengan baik, namun tetap tidak menemui jalan keluar atau sebarang persepakatan bersama.

Mahu bersih imej

Meneruskan perbualan, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 37, berkata, ketika proses perbicaraan hari pertama baru-baru ini, dia mengakui reputasi dan imejnya sebagai anak seni terjejas akibat kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

Menurut Nana, dia bukan mahu terus-menerus mengeruhkan keadaan, namun melihat cara sebegitu (perbicaraan di mahkamah) sebagai langkah terbaik untuk membersihkan calar pada imej serta reputasinya.

Ujar juara Gegar Vaganza 2015 itu lagi, dia enggan dan tidak boleh mengulas lanjut terutama perkara-perkara melibatkan terma mahkamah kerana proses perbicaraan masih berjalan.

“Saya terima perkara ini sebagai satu ujian besar daripada Allah. Cuma apa yang saya harapkan, semuanya dapat berjalan dengan lancar,” katanya yang berniat mahu membersihkan semula imej dan reputasinya sahaja.

WANITA kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu bersyukur dapat kembali bekerja setelah sekian lama terkurung dek pandemik Covid-19.

Mula sibuk, tetap pendirian

Tutup seketika mengenai masalah peribadi, Nana bersyukur kerana sudah mula sibuk dengan kerja-kerja seni yang sudah lama tertangguh.

Kata ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki itu, dia sudah mula sibuk keluar demi memenuhi tuntutan hakikinya sebagai insan bergelar anak seni.

“Alhamdulillah, satu persatu kerja yang lama tertangguh dapat saya lunaskan. Bila dah boleh rentas negeri, lagi mudah dan banyak kerja untuk dilangsaikan.

“Kalau dari segi perkembangan kerjaya, insya-Allah tak lama lagi saya akan hadir dengan sebuah lagu pop rap berganding dengan seorang penyanyi muda meningkat naik, Bunga.

“Sekarang pun baharu selesaikan penggambaran muzik video (MV) lagu tersebut yang tidak lama lagi akan menemui peminat,” katanya.

SOAL peneman hati, Nana meletakkan semua urusan tersebut kepadaTuhan. Nana juga tidak menolak seandainya jodoh datang sebelum
meniti usia 40-an.

Solo

Sibuk ke hulu ke hilir secara solo, mencari rezeki dan sering meninggalkan anak terunanya sendirian di rumah, dia tiada pilihan.

Akuinya, bukan tidak mahu ada teman hidup sebagai pembimbing, sekali gus membantunya menguruskan hidup dengan lebih tersusun.

“Saya sebaliknya bersyukur kerana anak dan keluarga faham dengan corak kerjaya seni saya yang tidak menentu ini.

“Buat masa sekarang biarlah dulu, saya selesa jalani rutin hidup begini.

“Bukan kata saya terlalu memilih atau cerewet dalam mencari pasangan hidup, tapi biarlah si dia yang bakal bertakhta di hati nanti boleh terima diri saya, anak dan keluarga seadanya

“Siapa yang tak nak kahwin, rasanya semua orang nak ada keluarga sendiri. Begitu juga saya, tapi buat masa ini memang agak kurang sesuai dan belum kena pada waktunya,” ujarnya.

Sebelum menutup perbualan, kata Nana, dia pasti akan berkahwin semula jika sudah tiba masa dan jodoh yang dianugerahkan Tuhan buatnya.

POPULAR