KAYU api yang dijual oleh Mohamad Ammar adalah dari pokok-pokok yang dilakukan penanaman semula.

Pernah ditertawa orang jual kayu api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seorang pemuda, Mohamad Ammar Sobri, 33, menjadikan perniagaan menjual kayu api sebagai sumber pendapatan utama selepas melihat potensi besarnya kepada komuniti yang gemar melakukan aktiviti perkhemahan, tetapi sukar mendapatkan bahan bakar itu.

Menurutnya, dia pernah ditertawakan oleh segelintir orang apabila memilih untuk mengusahakan perniagaan menjual kayu api memandangkan tidak ramai menggunakannya pada masa kini.

Sekarang, bisnes itu menjadi sumber pendapatan utamanya.

Memekakkan telinga, akhirnya dia berjaya membuktikan dakwaan itu salah selepas menerima banyak tempahan kayu api daripada orang ramai terutama mereka yang menyertai aktiviti perkhemahan.
————————————————————————————————————————————
PENGGUNAAN kayu api sebagai bahan bakar tidak lagi popular dalam kalangan masyarakat pada masa ini memandangkan terdapat sumber alternatif yang lebih mudah dan cepat digunakan seperti dapur gas menjadi pilihan ramai.

Kayu api biasanya digunakan di kampung bagi memasak makanan tertentu pada waktu terpilih seperti kenduri-kendara, menyambut perayaan dan sebagainya.

Bagi sesetengah orang terutamanya yang lahir di zaman milenial, penggunaan kayu api mungkin satu benda asing dan tidak mempunyai nilai komersial.

Namun, bagi seorang anak muda, Mohamad Ammar Sobri, 33, kayu api menjadi benda yang amat berharga buat dirinya kerana dapat menjana pendapatan.

Pemuda berasal dari Pulau Pinang itu telah ‘menukar kayu menjadi wang’ dengan mengusahakan perniagaan yang jarang diceburi orang lain iaitu menjual kayu api.

“Saya ditertawakan oleh segelintir orang apabila memilih untuk mengusahakan perniagaan menjual kayu api.

“Kini kayu api menjadi sumber pendapatan utama saya setiap bulan,” katanya.

MOHAMAD AMMAR mendapat bekalan kayu api daripada beberapa pembekal di Klang, Selangor.

Dia kini menjadi pembekal kayu api kepada penyedia tapak perkhemahan serta individu yang gemar melakukan aktiviti tersebut yang memerlukan bahan itu untuk membuat unggun api dan sebagainya.

Menurutnya, sebelum ini, dia mengusahakan kedai makan, tetapi pandemik Covid-19 menyebabkan perniagaannya terjejas dan terpaksa ditutup buat sementara waktu.

“Pada masa sama, saya sendiri gemar aktiviti camping bersama keluarga. Masalah utama apabila melakukan aktiviti itu adalah untuk mendapatkan sumber kayu bagi membuat unggun api atau pun membakar ikan, daging atau ayam.

“Daripada situ, timbul idea untuk mengusahakan perniagaan menjual kayu api dan membekalkannya kepada mereka memerlukannya.

“Saya dapati tidak ramai yang mengusahakan perniagaan ini. Jadi, saya mengambil peluang yang terhidang di depan mata,” katanya.

Menurutnya, dia baru mengusahakan perniagaan menjual kayu api pada tahun ini dan sambutan yang diterima amat baik sekali, terutamanya daripada komuniti yang gemar melakukan aktiviti perkhemahan.

Kadangkala katanya, kayu-kayu yang dicari di sekitar kawasan perkhemahan basah dan tidak boleh dijadikan kayu api.

Selain itu, ada sesetengah daripada mereka yang melakukan aktiviti itu sanggup menebang pokok-pokok di kawasan sekitar tapak perkhemahan untuk dijadikan kayu api.

Tanpa mereka sedar, perbuatan itu memberi kesan yang tidak baik kepada alam sekitar.

BEKALAN kayu api disimpan di atas rak di kedai untuk dijemur bagi memastikan ia benar-benar kering sebelum dihantar kepada pelanggan.

Dalam pada itu, kayu api yang dijual oleh Mohamad Ammar itu adalah dari pokok-pokok yang dilakukan penanam semula.

Antara pokok yang diambil kayunya untuk dibuat kayu api termasuk rambutan, leban, akasia, bakau, cempedak, petai dan lain-lain.

Menurutnya, ada dua jenis kayu api yang dijualnya iaitu kayu lembut dan kayu keras.

“Kayu lembut ini diambil dari pokok getah dan akasia. Api yang terhasil daripada kayu jenis ini lebih kuat dan cepat marak.

“Selain itu, kayu jenis lembut ini juga mudah untuk menghasilkan api berbanding kayu jenis keras,” terangnya.

Tambahnya, kayu jenis keras pula adalah dari pokok seperti rambutan, bakau, leban dan cempedak.

Keistimewaan yang ada pada kayu jenis keras ini adalah mempunyai ketahanan api yang lebih lama berbanding kayu lembut.

Sementara itu, berbicara tentang bekalan kayu api yang diperolehnya, Mohamad Ammar menjelaskan, sebelum ini dia sendiri mencari kayu-kayu tersebut di beberapa kawasan.

Namun disebabkan permintaan yang semakin bertambah dan tidak menang tangan menerima tempahan, dia kini bekerjasama dengan beberapa individu di Klang, Selangor bagi membantunya mendapatkan bekalan kayu api yang dikehendaki.

RATA-RATA pelanggan yang menempah kayu api adalah mereka yang terlibat dalam aktiviti perkhemahan.

Dengan cara itu, dia berasakan sedikit sebanyak dapat membantu orang lain untuk sama-sama menjana pendapatan.

“Mereka akan mencari kayu api dan memotongnya sekali mengikut saiz panjang yang saya kehendaki.

“Saiz panjang kayu api yang saya jual adalah berukuran 22.8 sentimeter (sm) dan 45.7m sm.

“Bagi saiz berukuran 22.8 sm, ia sesuai dimuatkan dalam bekas yang dijadikan tempat untuk membakar ayam atau daging,” jelasnya.

Manakala, bagi kayu api berukuran 45.7 sm pula sesuai diletakkan di atas tanah secara bersilang bagi dijadikan unggun api untuk tujuan memasak dan sebagainya.

Kesemua bekalan kayu api itu disimpan di kedainya yang terletak di Kajang, Selangor untuk dijemur bagi memastikan ia betul-betul kering sebelum dihantar kepada pelanggan.

Dalam seminggu, Ammar mampu menjual sehingga 30 palet kayu api.

SAIZ kayu api yang dijual Mohamad Ammar adalah berukuran 22.8 sm dan 45.7 sm.

Setiap palet kayu api itu mempunyai 24 ikat kayu api bersaiz 22. 8 sm dan 12 ikat kayu api bersaiz 45.7 sm.

Harga bagi satu ikat kayu api bersaiz 22.8 sm adalah RM20 dan RM35 untuk kayu api berukuran 45.7 sm.

Bagi memudahkan urusan mereka yang mahu mendapatkan kayu api ini, Mohamad Ammar turut menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada di sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, dia menjelaskan, sehingga kini telah menjadi pembekal utama kayu api kepada lapan tapak perkemahan di seluruh Malaysia.

“Saya melihat aktiviti perkhemahan kini telah menjadi satu trend dan setiap minggu, tapak-tapak perkhemahan dipenuhi dengan orang ramai yang ingin lari daripada hiruk-pikuk di kawasan bandar.

“Jadi, saya melihat kayu api ini menjadi satu benda yang diperlukan untuk aktiviti ini.

KAYU jenis lembut mudah menghasilkan api berbanding kayu keras.

“Harapan saya dapat mengembangkan lagi bisnes ini dan ingin bekerjasama dengan banyak lagi pengendali tapak perkhemahan sebagai pembekal kayu api pada masa hadapan,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN