fbpx

Mahkamah perintah budak lelaki pula diserah kepada ibu kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam Nurainie Haziqah Shafi’i (dua dari kanan) ketika tamat prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia dua tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada ibu kandungnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Nurainie Haziqah Shafi’i yang mewakili ibu kandung kanak-kanak itu berusia 21 tahun selepas prosiding kes di hadapan Majistret Norfarahain Roslan.

“Selepas meneliti laporan yang disediakan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hak penjagaan bagi kanak-kanak berkenaan diberikan semula kepada ibu kandungnya. Meskipun hak penjagaan itu diberikan, ibu kanak-kanak itu terikat dengan tempoh pengawasan pihak JKM selama tempoh dua tahun,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan tempoh pengawasan dua tahun yang diperintahkan mahkamah, peguam itu berkata ia bermakna pihak JKM pada bila-bila masa boleh membuat pemeriksaan mengejut terhadap ibu kandung tersebut.

Dalam pada itu seorang lagi peguam yang mewakili ibu kandung tersebut, Muhammad Hafiz Hood berkata, pendengaran bagi permohonan Siti Bainun dan dua lagi ibu kandung bagi mendapatkan hak penjagaan penuh tiga lagi kanak-kanak di bawah jagaan JKM akan bersambung pada 16 November ini.

Pada prosiding tersebut, Siti Bainun diwakili peguam Nur A’minahtul Mardiah Mohd. Nor.

Pada 28 Oktober lalu, mahkamah sama memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia tiga tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda Siti Bainun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia berikutan mahkamah menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak tersebut.

Siti Bainun, 29,  dan empat lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan tersebut melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah pada 2 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan Agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut adalah juga bagi pembatalan perintah interim yang diberikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI