fbpx

Loji NBL KRC sedia 1,600 pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) bersama Mahdzir (tiga dari kanan) pada majlis pecah tanah loji NBL HS Industries di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA –Projek loji getah nitril butadiena (NBL) di Bandar Getah Kedah (KRC), Padang Te­rap yang bakal beroperasi pada 2023 bakal menyediakan lebih 1,600 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, projek yangh dibangunkan oleh Hong Seng Industries Sdn. Bhd. (HS Industries) itu membabitkan kos sekitar RM3 bilion.

Menurutnya, projek tersebut mampu menarik pelaburan tambahan sebanyak RM5 bilion khususnya melalui industri soko­ngan dan rantaian nilai industri berkaitan.

“KRC yang juga taman perindustrian getah nasional diwujudkan bagi mempercepatkan pembangunan industri getah negara.

“Ia sekali gus menjadi hab pengeluaran getah bernilai tinggi di Asean.

“Pembangunan ini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di Kedah, malah akan menjana peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah HS Industries di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pemba­ngunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng Consolidated Bhd., Datuk Seri Teoh Hai Hin serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksa­naan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Loji berkenaan akan disiapkan secara berperingkat dalam empat fasa dengan pengeluaran komersial pertama NBL dijangka pada suku kedua 2024.

Muhammad Sanusi berkata, apabila siap sepenuhnya, loji berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran penuh sebanyak 960 kilo tan setahun.

Tambahnya, universiti-universiti tempatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) juga berpeluang bekerjasama dengan pemain industri di KCR.

Ini terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta penerokaan teknologi baharu khususnya dalam bidang bahan kimia termaju.

HS Industries menerima Surat Tawaran pada 25 Jun lalu yang dikeluarkan NCER untuk menyewakan semula 102.6 ekar (41.5 hektar) tanah perindustrian di KRC bagi tempoh 60 tahun untuk tujuan pembangunan loji NBL.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI