fbpx

Jangan ikut orang lain untuk bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PILIH padanan pakaian dan aksesori difikir menarik, bukan mendengar kata orang lain.

TERMA mangsa fesyen adalah sesuatu yang kita mahu elakkan sama sekali. Ia digunakan apabila kita mahu mengkritik gaya seseorang berpakaian.

Definisi terma itu selalunya berbeza-beza maksudnya apabila kita merujuk kepada individu-individu yang berlainan.

Maksud mangsa fesyen itu sendiri sangat subjektif dan terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Individu tertentu menjadi mangsa fesyen apabila terlalu ingin cuba menjadi fashionable dan trendy sehingga sanggup membeli apa sahaja yang dicadangkan dan dianggap bergaya oleh fashion authorities.

Malangnya, apabila menggabungkan sendiri dan menggayakan trend tersebut, ia kelihatan agak keterlaluan serta mendapat perhatian yang kurang menyenangkan.

1.  Jangan taksub media cetak, elektronik

Jangan tiru bulat-bulat apa yang kita lihat di televisyen dan majalah. Selebriti dan model selalunya ‘overdo trends’ untuk menarik perhatian media.

Sememangnya gaya yang kadangkala berlebihan itu tidak begitu berjaya apabila digayakan dalam dunia realiti.

Mengambil inspirasi untuk kelihatan lebih bergaya tidak salah, cuma ia perlu disesuaikan dan diolah mengikut gaya hidup sendiri.

Selain itu, sesuaikan juga dengan latar belakang budaya masyarakat setempat.

2. Tanda gejala mangsa fesyen

Mereka yang terlalu taksub atau kuat nafsu membeli, sehingga sanggup berhutang ribuan ringgit hanya untuk kelihatan bergaya adalah salah satu tanda telah menjadi mangsa fesyen.

Tanda lain adalah mengenakan pakaian atau aksesori trend paling terkini tanpa mengira sama ada ia sesuai dengan diri atau tidak.

Selain itu, membeli pakaian yang menjadi trend terbaharu, tetapi malangnya apabila dipakai, ia kelihatan serba tidak kena turut dikategorikan sebagai mangsa fesyen.

Terakhir, ciri-ciri mangsa fesyen adalah apabila keluar dari rumah dengan memakai pelbagai fesyen trend popular serentak, baru perasan ia kelihatan seperti mannequin ataupun tingkap pameran bergerak. Dalam erti kata lain, penampilan itu amat tidak munasabah.

JANGAN terlalu ikut nafsu, beli hanya beberapa helai pakaian yang jadi trending, kemudian padankan dengan pakainan lama.

3. Jadi diri sendiri

Pilih padanan pakaian dan aksesori yang kita fikirkan menarik, bukan mengikut kata orang lain. Kita perlu sentiasa selesa dengan apa yang dipakai.

Oleh itu, kekalkan item yang paling sesuai dengan umur, potongan badan, imej, personaliti dan gaya dengan mengambil kira acara, majlis serta tempat.

Jika kita berasa semua mata memandang sinis semasa menggayakan sesuatu trend pakaian atau padanan, berkemungkinan besar ia memang tidak sesuai dengan kita.

Elakkan juga trend warna atau rona terang jika tidak biasa serta kurang selesa memakainya.

Paling penting, kita perlu jujur dengan diri sendiri.
Kunci utama penampilan hebat adalah apabila kita berasa selesa dengan penampilan sendiri.

4. Bergaya sederhana

Jangan terlebih dalam berfesyen. Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang trendy dan popular dalam satu masa.

Ia akan nampak amat pelik dan janggal. Cadangan saya, tidak perlu membazir, beli hanya beberapa helai pakaian yang trendy pada setiap musim, kemudian padankan dengan pakaian asas atau apa yang ada dalam almari pakaian.

Pakaian baharu yang dipadankan dengan yang lama secara bijak dan kreatif, selalunya menjadikan penampilan kita kelihatan lebih bersahaja dan menarik.

PAKAIAN hebat digayakan selebriti atau model kadangkala tidak sesuai dikenakan di dunia nyata, selain ia juga perlu disesuaikan dengan budaya masyarakat setempat.

5. Kesimpulan

Bukan mahal atau murah sesuatu pakaian yang menjadi aspek utama dalam penampilan seharian.

Perlu diingat, sebenarnya untuk kelihatan hebat dalam apa sahaja yang kita gayakan, pakaian perlu sesuai dengan potongan badan, gaya, imej serta personaliti secara keseluruhan.
——————————————————————————————————————————
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI