fbpx

Sindiket bungkus RM4.2 juta dadah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah seberat 115.1 kg bernilai RM4.2 juta yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan kegiatan satu sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah apabila memberkas tujuh individu dalam empat serbuan di sekitar Kempas, Setia Tropika, Setia Indah di sini.

Dalam operasi khas bermula 5.15 petang hingga pukul 1.10 pagi 28 Oktober lalu, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing berusia 39 hingga 48 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussain berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Dalam empat siri serbuan sekitar Johor Bahru, pihak JSJN Bukit Aman dan JSJN IPK Johor berjaya menumpaskan kegiatan satu sindiket pengedaran dadah dengan memberkas tujuh individu berusia 39 hingga 48 tahun.

“Pasangan suami isteri berusia 41 dan 48 tahun dipercayai ‘mastermind’ sindiket ini antara mereka yang diberkas,”katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Razarudin berkata, menerusi siri serbuan itu juga, pihaknya berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 115.1 kilogram (kg), ketamin 528 gram (g), ektasi (52.8 g), eramin 5 (10.5 g), pil yaba (9.17 g) serta dadah jenis mushroom (91.8 g) dan nilai keseluruhan bernilai RM4.2 juta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak setahun lalu berdasarkan semakan rekod jenayah lampau terhadap mereka yang mana lima daripadanya memiliki rekod.

“Dadah yang dirampas ini ditemui di dalam sebuah rumah yang dijadikan sebagai tempat membungkus dadah. Dadah-dadah ini dipercayai di seludup dari negara jiran dan sindiket ini membungkus balik dadah sebelum diedarkan.

“Kita percayai dadah ini bukan sahaja diedar untuk pasaran tempatan malah turut diseludup ke luar negara dan dadah yang dirampas mampu diguna 587,222 pengguna,”katanya.

Razarudin berkata, selain dadah, polis turut merampas lima buah kenderaan, wang tunai, barang kemas serta membekukan 11 akaun dan jumlah keseluruhan sitaan bernilai 689,601.

Saringan awal terhadap urin mendapati enam daripada suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin dan ampetamine.

Mereka ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI