fbpx

Dr. Md. Nasir dilantik CEO baharu Finas – KKMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. MD. NASIR IBRAHIM

PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan Prof Dr. Md. Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok sehingga 30 Oktober 2023.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan jawatan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir 15 Oktober lalu.

Katanya, Md. Nasir berpengalaman luas dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan seni budaya di peringkat tempatan serta antarabangsa yang sudah terbukti cemerlang.

“Pengalaman luas dan ketokohan beliau dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa telah terbukti, dengan kecemerlangan menggalas tanggungjawab termasuk sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“KKMM yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya mampu memacu Finas sebagai badan peneraju yang menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

“Saya percaya sinergi antara beliau dan Ahli-Ahli Perbadanan Finas akan memantapkan hala tuju, perancangan serta pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem dan ekonomi kreatif di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya..

Md. Nasir mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

Md. Nasir, 62, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia pada 1986 merupakan bapa kepada lima anak perempuan termasuk aktres, Anzalna, Afifah dan Mia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI