ORANG kata, apabila dah minat semuanya boleh jadi. Tidak kiranya minat dalam apa sahaja sama ada memancing, bermain golf dan sebagainya bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dihajati.
Begitu juga dengan peminat basikal lama atau klasik yang sanggup berhabis ratusan, malahan ribuan ringgit semata-mata ingin melihat barangan yang dihajati sentiasa berada dalam keadaan baik.
Sebuah basikal melambangkan kedudukan pemiliknya. Basikal jenis Bel-Air keluaran tahun 1960-an, Birmingham Special (1960-an), Blue Riband (1950-an), BSA (1930-an hingga 1970-an) dan Carlton (1930-an) merupakan antara jenis basikal yang popular pada zamannya.
———————————————————————————————————-
MINAT yang mendalam terhadap basikal tua menjadi penyebab utama seorang mekanik basikal di Kampung Gong Depu, Pasir Puteh, Kelantan untuk terus menjaga barangan antik yang dibeli dengan wang sendiri dan mewarisi peninggalan bapanya.
Shaari Awang Ali, 62, memiliki sebuah basikal jenis Von Drais yang dibuat pada tahun 1817 dan sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk membaiki basikal tua yang berusia lebih 100 tahun itu.
Basikal yang jarang ditemui itu merupakan antara barangan antik kesayangannya yang masih disimpan rapi di bengkelnya sehingga kini.
Selain itu, pesara sebuah bank di Besut, Terengganu itu turut menyimpan basikal dari tahun 1930-an hingga 1970-an dari Eropah seperti Raleigh, Humber dan BSA yang berusia antara 50 hingga lebih 100 tahun yang bernilai RM15,000.
“Zaman dahulu, sebuah basikal melambangkan kedudukan pemiliknya. Basikal jenis Bel-Air keluaran tahun 1960-an, Birmingham Special (1960-an), Blue Riband (1950-an), BSA (1930-an hingga 1970-an) dan Carlton (1930-an) merupakan antara jenis basikal yang popular pada zamannya.
“Meskipun sudah berusia, sesebuah basikal tua dibina dengan besi yang kukuh dan ia tidak mudah rosak terutamanya binaan pada komponen utama iaitu hendal, brek dan pelana,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.

Menjalankan perniagaan bengkel basikal sejak pencen lima tahun lalu, menurut Shaari, dia meneruskan warisan itu daripada arwah ayahnya yang dahulu mempunyai kemahiran dalam membaiki kenderaan lama terutamanya basikal tua.
Ujarnya, kebiasaanya, basikal tua dari Eropah memiliki lapan bearing manakala basikal dari Jepun pula dibina dengan tujuh bearing.
“Bearing itu digunakan untuk menentukan kelajuan sesebuah basikal tua. Sama sahaja basikal dari Eropah dan Jepun. Bezanya adalah dari segi rekaan dan binaan apabila ramai peminat basikal lebih gemarkan basikal dari Eropah.
“Ramai yang mencari basikal jenis Claud Butler, Dawes, Falcon, Hercules, Hetchins, Hobbs Of Barbican dan Raleigh ketika ini. Ia mempunyai nilai estetik yang tinggi buat pengumpul basikal tua sehingga menyebabkan harganya kini naik mendadak,” katanya.

Menurutnya yang juga Penasihat Kelab Basikal Tua Pasir Puteh, perkhidmatannya sebagai mekanik basikal tua itu sering mendapat permintaan ramai dari negeri Kelantan dan Terengganu.
Shaari berkata, kebanyakan pemilik menghantar basikal mereka untuk membetulkan semula rim tayar yang bengkok, selain penyelenggaraan komponen pada kelajuan gear sesebuah basikal.
Jika dikaji semula, basikal tua merupakan satu kenderaan mampu milik yang digunakan oleh orang ramai suatu ketika dahulu.
Ini bertepatan dengan lirik dalam lagu penghibur lagenda, Allahyarham Sudirman Arshad menerusi lagu Basikal Tua dalam bait liriknya iaitu ‘Harta Sekadar Basikal Tua, Orang Biasa, Basikal Tua’.
Menerusi bait lirik itu jelas menunjukkan bahawa, basikal tua kira-kira 40 tahun lalu menjadi kegunaan orang kebanyakan, namun kini harganya mencanak naik kerana mempunyai nilai antik yang mampu dinilai penggemarnya.
Seorang peminat basikal tua, Mohd. Ariff Abdul Rahman, 40, berkongsi pengalaman, dia amat menyayangi empat buah basikal tuanya dan mempamerkan basikal itu di ruang tamu rumahnya, selain sebahagiannya disimpan dalam stor khas.

Peniaga kedai runcit di Kampung Wakaf Raja itu berkata, dia membelanjakan wang sebanyak RM8,000 untuk membeli basikal daripada kenalannya sebelum memperuntukkan lebih RM5,000 untuk membaiki semula dan membeli aksesori tambahan yang asli.
“Saya mula meminati basikal lama sejak 10 tahun lalu dan aktif berkongsi hobi yang sama menerusi Kelab Basikal Tua Pasir Puteh. Selain basikal, saya juga gemar menyimpan barangan lama yang kini tinggi nilainya jika dijual di pasar karat.
“Saya kini sedang mencari basikal jenis Raleigh saiz 24 untuk melengkapkan koleksi peribadi. Basikal Raleigh ada enam saiz sebenarnya iaitu saiz 18, 20, 24,25, 26 dan 28. Saiz merujuk kepada saiz dan ketinggiannya.
Mohd. Ariff berkata, meskipun pernah ditawar pada harga yang tinggi, dia tidak akan menjual empat buah basikal miliknya itu.

Ujarnya, dia berpendapat bahawa minat mengumpul basikal itu bukan berasaskan perniagaan kerana ia mempunyai keunikannya tersendiri.
“Saya tidak berminat untuk menjual basikal ini tidak kira berapa harga yang ditawarkan. Koleksi ini menjadi simpanan dan kepuasan diri saya dan ia tidak akan boleh dijual beli.
“Paling saya sayang adalah sebuah basikal tua untuk kegunaan posmen suatu ketika dahulu. Saya tidak pernah mengusik cat aslinya yang berwarna merah, malah binaan logo Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia masih elok sehingga kini,” ujarnya.














