fbpx

Ibu tunggal cuai didenda RM 9,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Akibat cuai menjaga anak kandung lelakinya hingga mengalami kesan melecur di bahagian lengan dan bawah ketiak kanak-kanak itu, seorang ibu tunggal didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga barangan kosmetik dalam talian berusia 26 tahun tersebut selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan wanita berusia itu menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar senda berkenaan.

Pada masa sama wanita itu turut diperintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran mengikut Seksyen 31(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tertuduh didakwa sebagai ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan telah berlaku cuai sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian lengan kanan dan kiri serta di bawah ketiak sebelah kanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Setapak di sini pada bulan Disember 2020 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya dapat memberi mesej kepada masyarakat yang mana kesalahan yang dilakukan serius.

“Dalam kes ini, mangsa mengalami kecederaan melecur bukanlah disebabkan kemalangan atau  tidak disengajakan tetapi ia disengajakan oleh kecuaian tertuduh. Berdasarkan fakta kes yang telah diakui tertuduh, keadaan mangsa semasa diambil oleh pengadu berada dalam keadaan trauma dan takut semasa tertuduh menjaga mangsa (ketika kejadian),” kata Muhammad Aiman.

Bagaimanapun, peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda yang ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf serta perlu menjaga keluarganya.

“Anak guam saya perlu menanggung ibu bapanya yang sudah tua dan dia harus mencari nafkah,” katanya.

Mengikut fakta kes,  pada hari kejadian pengadu yang merupakan bapa kandung kanak-kanak itu, telah menghantar mangsa ke rumah tertuduh.

Semasa pengadu mengambil anaknya, dia mendapati ada kesan melecur di lengan kiri dan kanan serta bawah ketiak kanak-kanak itu malah mangsa juga berada dalam ketakutan.

Sangsi dengan keadaan itu, pengadu kemudian bertanya kepada tertuduh namun wanita itu memaklumkan dia tidak tahu mengenai kesan lecur tersebut.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati kesan melecur di bawah ketiak dan luka di bahagian belakang kedua-dua belah tangan mangsa serta kesan lecetan pada bahagian belakang badan kanak-kanak itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI