Pesawat berwarna hijau jenis de Havilland Canada DHC-4A Caribou kelihatan menurunkan roda pada sisi kiri dan kanannya sebelum mendarat kemas di atas padang rumput yang terhampar luas. Deruman dua enjin Pratt & Whitney R2000 dengan enam bilah kipas membelah angin membingitkan suasana.
Sebaik berhenti, beberapa kru berpakaian celoreng kelihatan merapati pesawat Caribou yang merupakan ‘kuda utama’ Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini lalu memuatkan bekalan makanan dan pelbagai lagi barangan kepada pasukan tentera yang bertugas di perbatasan.
Kehadiran pesawat pengangkut tentera ini adalah pemandangan biasa di landasan terbang Tekah di Taiping, Perak atau Aerodrome Taiping semasa era insurgensi memerangi pengganas komunis pada sekitar tahun 1960-an hingga 1980-an.
Kedudukan landasan terbang ini yang strategik di Taiping menjadikannya sebagai pusat kargo dan logistik utama tentera di utara Semenanjung. Lebih daripada itu, landasan terbang Tekah adalah secebis daripada sejarah besar aeroangkasa negara yang bermula pada era kolonial.

Dibina pada tahun 1929 dan siap setahun kemudian, Tekah merupakan sebuah lapangan terbang kecil atau aerodrome dengan bangunan kayu sekali gus menjadi lapangan terbang pertama di Tanah Melayu. Melengkapi fungsi Lapangan Terbang Tekah ialah binaan sebuah menara tinjau dan tiang penunjuk arah angin.
Landasan atau lapangan terbang ini dibina oleh LJB Madden selaku kontraktor yang dilantik sebagaimana dicatatkan dalam Taiping Weekly Record pada 1935. Fungsi asas lapangan terbang ini adalah untuk kegunaan pegawai British dan para pedagang dari Eropah.
Pada tahun 1938, kerja-kerja memanjangkan landasan dilakukan bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat dengan panjang landasan kira-kira 1,300 meter.
Setiausaha Udara Britain, Sir Philip Sasson yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan stesen-stesen udara British di luar negara menyifatkan landasan terbang Tekah sebagai antara yang terbaik di Timur Suez pada masa itu.
Antara laluan-laluan utama landasan terbang ini adalah dengan menyediakan kemudahan perjalanan ke lokasi berjarak pendek seperti ke Alor Setar, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Ini kerana laluan penerbangan Pulau Pinang ke Singapura juga akan menjadikan landasan terbang Taiping sebagai lokasi hentian bagi mengisi minyak.
Landasan ini juga digunakan oleh tentera Jepun memandangkan Taiping pernah menjadi pusat pentadbiran pihak Jepun di Tanah Melayu dan Sumatera, Indonesia.
Bermula tahun 1965, Taiping menjadi markas bagi pasukan logistik dan bekalan hantaran udara tentera di wilayah utara apabila HQ FSTS AFMC (Headquarters Federation Supply and Transport Service Armed Forces Maintenance Corps) ditubuhkan.

Kini, kawasan landasan terbang tersebut masih dimiliki Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah ada papan tanda melarang diceroboh walaupun tidak berjaga. Pada hujung landasan ini masih terdapat beberapa blok bangunan papan yang kelihatan uzur iaitu bekas kem landasan terbang di dalam kawasan berpagar dan berkunci selain sebuah bangunan bekas gudang.
Ketua Penyelidik dan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya, Shaharom Ahmad berkata, ketika Perang Dunia Kedua meletus, landasan terbang ini digunakan oleh Skuadron ke-62 Tentera Udara Diraja Britain (RAF) yang berundur dari Butterworth, Pulau Pinang.
Katanya, skuadron tersebut mempunyai dua pesawat jenis Blenheim yang terselamat daripada serangan udara tentera Jepun pada 9 Disember 1941.
“Ketua skuadronnya, Arthur Scarf terselamat dan meneruskan operasi menyerang tentera Jepun di Singgora, Thailand biarpun menerima serangan pesawat musuh sebelum kembali dan mendarat cemas di Alor Setar.
“Dia bagaimanapun terkorban akibat cedera parah. Mendiang dianugerahkan pingat keberanian tertinggi Victoria Cross dan disemadikan di Tanah Perkuburan Perang Taiping. Semasa perang juga, sepasukan anggota Federated Malay State Volunteer Forces (FMSVF) ditugaskan mengawal padang atau landasan terbang Tekah dari cubaan serangan tentera Jepun.
Selepas perang tamat, padang terbang ini diguna oleh pihak British dan seterusnya TUDM dalam operasi menentang keganasan komunis.
“Sebuah pesawat Caribou TUDM yang berlepas dari landasan terbang ini dalam misi menghantar bekalan telah terhempas dekat Kampung Atap, Cameron Highlands pada 25 September 1982 lalu mengorbankan juruterbang dan enam kru.
“Ini juga adalah catatan sejarah, sebab itu Tekah ada nilai serta signifikan walaupun tiada lagi fungsi sebagai sebuah lapangan terbang.
“Bangunan terminal utama telah rosak teruk, namun saya masih lagi menjumpai tinggalan beberapa struktur yang masih teguh seperti tiang penunjuk arah angin yang dibina oleh British dan beberapa tinggalan lama di kawasan sekitar.
“Saya harap kawasan ini dibaik pulih dan dijadikan galeri atau muzium penerbangan sebagai rujukan generasi akan datang,” ujarnya.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli berkata, pemimpin Indonesia, Sukarno dan Mohammad Hata pernah mendarat di Tekah pada 12 Ogos 1945 untuk bertemu tokoh nasionalis Tanah Melayu, Dr. Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaacob membincangkan penyatuan kemerdekaan Malaya serta Indonesia.
“Delegasi Sukarno sebelumnya ke Saigon, Vietnam bertemu Fil Marsyal Terauchi Hisaichi bagi membincangkan kemerdekaan Indonesia dan singgah di Tekah.
“Perbincangan antara mereka dikenali sebagai Pengisytiharan Perjanjian Taiping, bagaimanapun Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945 tanpa melibatkan Malaya,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Nor Hisham, pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) perlu melakukan penyelidikan terperinci bahawa landasan terbang Tekah pernah disinggahi juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart pada 7 Jun 1937 sewaktu membuat penerbangan solo merentasi Lautan Atlantik.
“Amelia diberi kebenaran untuk mengisi bahan api di Taiping mengikut sekeping surat bertarikh 7 Jun 1937 sebelum ke Singapura. Malah, kebenaran turut diberi pihak berkuasa di Alor Setar (Kedah) dan Batu Pahat (Johor).
“Ketibaan beliau di Singapura ada dilaporkan dalam akhbar, sebaliknya tiada berita tentang Amelia singgah mendarat di Taiping. Bagaimanapun, kajian perlu dilakukan untuk kepastian,” ujarnya.














