fbpx

WithU jadi penaja RNF MotoGP Team

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZLAN (kanan) dan Ballarin (kiri) berganding tangan bersama dua pelumba WithU Yamaha RNF MotoGP Team iaitu Dovizioso (dua dari kanan) serta Darryn di Misano, Itali semalam. – YAMAHA

TEKA-TEKI entiti baharu yang akan mengambil alih status sebagai penaja utama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) akhirnya terjawab apabila syarikat berpangkalan di Itali, WithU bakal menyertai pasukan tersebut pada musim 2022 nanti.

Petronas dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum ini mengumumkan ‘perpisahan’ mereka untuk menjadi penaja bermula musim depan sekali gus menyaksikan penjenamaan semula pasukan itu.

Terbaharu, pasukan tersebut akan dikenali sebagai WithU Yamaha RNF MotoGP Team dan dikendalikan oleh Datuk Razlan Razali sebagai prinsipal.

Lebih menarik, pasukan dari Malaysia itu turut mendapat bantuan Yamaha Motor Co., Ltd pada musim 2022 dengan kemungkinan kontrak disambung pada 2023 dan 2024 untuk meneruskan kerjasama mereka dalam kelas perdana.

“Hari ini kami melakar sejarah baharu bersama WithU Yamaha RNF. Syarikat tenaga dari Itali adalah salah satu daripada dua penaja pertama kami untuk pa­sukan Petronas SRT pada 2018.

“Kami sangat gembira dengan sokongan dan komitmen berterusan mereka untuk menjadi penaja utama bagi menyertai pasukan baharu kami pada musim 2022.

“Walaupun terdapat perubahan pada tahun ini, saya berterima kasih kepada Matteo Ballarin selaku Presiden Europe Energy Group dan Lin Jarvis (Yamaha) atas kepercayaan mereka kepada saya untuk meneruskan perjalanan luar biasa ini.

“Kami telah mencapainya bagi tempoh tiga tahun pertama menerusi kemenangan dan podium yang dicapai sepanjang musim itu. Kami berharap mampu mencipta satu lagi motivasi terbaik bersama mereka pada musim 2022 nanti,” kata Razlan.

Pasukan RNF Racing akan mendapatkan bantuan penuh daripada Yamaha dengan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 pada musim depan bersama pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso dan pelumba Moto3, Darryn Binder yang akan beraksi dalam kelas utama.

Sebagai rekod, pasukan tersebut telah menandatangani perjanjian lima tahun dengan Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan WithU Yamaha RNF MotoGP Team akan terus bersaing sebagai pasukan ‘Independent Team’ sehingga 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI