fbpx
MENJADI satu kepuasan sekiranya dapat menakluki toman bersaiz mega di The Tomanz, Unisel.

Asakan toman ‘enam jahanam’ di tasik Unisel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah hampir setahun penulis berehat dalam dunia perburuan ‘spesies berkepala ular’, kini penulis kembali. Kali terakhir penulis mengikuti trip ialah sekitar bulan Disember tahun lalu di Empangan Klau, Raub, Pahang sebelum aktiviti memancing tidak dibenarkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Ikan toman (Channa micropeltes) merupakan ikan trofi dalam kategori ikan sukan (game fish) bagi penggemar teknik casting, maka tidak hairanlah spesies ini menjadi buruan kaki casting.

Baru-baru ini, penulis telah dipelawa oleh salah seorang ‘orang kuat’ The Tomanz, Amirul Hakim untuk datang merasai sendiri pengalaman menduga penghuni tasik di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Selangor itu.

Pada hari yang dijanjikan, penulis telah disambut oleh Hasril Abu Hassan selaku pengasas The Tomanz yang kebetulan berada di situ.

Menurut Hasril, idea penubuhan The Tomanz bermula sekitar tahun 2018 apabila Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman mencadangkan supaya tasik di sekitar Unisel dijadikan kawasan rekreasi untuk pengunjung.

“Memandangkan tasik utama Unisel dihuni ikan toman bersaiz mega, selain terjadi juga beberapa insiden serangan melibatkan ikan toman, jadi kita memutuskan untuk mengkomersialkan tasik-tasik dalam Unisel untuk pemburu ikan toman.

“Pukul 9 pagi hingga 10 pagi adalah waktu terbaik memburu ikan toman di The Tomanz ini dan teknik casting atau kaedah CnR (catch and release) sahaja yang dibenarkan,” ujarnya.

Setiap pemancing dikenakan bayaran sebanyak RM50 sehari dengan terdapat tiga buah tasik untuk para caster memburu toman. Pelbagai kemudahan disediakan seperti paddle-boat, kabin untuk berehat, surau dan lain-lain untuk para pemancing yang berkunjung ke The Tomanz.

TASIK di Unisel, Bestari Jaya, Selangor bukan sahaja indah bahkan kaya dengan hidupan toman.

Selain memancing dari atas tanah (landbase), pemancing juga boleh membawa bot persendirian atau kayak untuk memancing di The Tomanz.

Untuk makluman, toman seberat 6.9 kilogram merupakan rekod terbesar ditakluk dari tasik itu yang dipegang oleh Vincent Gan dari pasukan MonsterCraft.

Untuk mencuba nasib di The Tomanz, penulis memilih menggunakan joran aksi sederhana 7-14lb yang dipadankan dengan mesin baitcasting (BC) ratio 7:3:1. Tali utama yang disyorkan adalah 15lb ke atas berserta leader jenis serap hentakan (shock leader) 20lb ke atas.Gewang jenis giant soft frog pula menjadi taruhan.

Penulis lebih memilih untuk sight-cast di sangkar ikan tilapia merah kerana kelibat toman bujang kelihatan bermain-main di sekitar kawasan itu.

Selepas beberapa balingan, terasa seperti ketukan dari tepi sangkar tetapi hampa, hanya usikan nakal daripada si bujang.

Puas di spot sangkar, penulis beralih ke lokasi yang berdekatan kabin The Tomanz kerana terdapat beberapa boiling (gelembung toman ketika mengambil udara di permukaan) kelihatan.

Kali ini, penulis menggunakan gewang jenis pencil, kerana berdasarkan pengalaman penulis sebelum ini di Tasik Wetland, Putrajaya, penggunaan pencil ataupun buzzbait sangat efisien dalam memikat toman bersaiz mega, terutamanya yang membawa anak. Ini kerana, pencil atau buzzbait menghasilkan bunyi yang mengganggu dan menarik perhatian toman untuk menghentam gewang.

Balingan pertama penulis di tengah-tengah kerancakan boiling, gewang penulis dihentam si penghuni tasik sekali gus menyebabkan joran penulis melengkung, namun hanya sempat menahan asakan kurang daripada 30 saat sebelum gewang dimuntahkan.

Beberapa balingan selepas itu agak hampa, tiada ketukan atau sambaran dirasakan penulis walaupun pelbagai jenis gewang penulis gunakan untuk memikat tetapi toman di sini begitu culas untuk membaham umpan.

Seorang pemancing yang sebelum itu berada di tasik utama menunjukkan kepada penulis, snap yang terkangkang akibat asakan toman mega di tasik utama. Jelasnya lagi, untuk memancing di tasik utama, gewang permukaan dan soft plastic begitu digemari oleh penghuni di situ.

Dia dengan berseloroh memberitahu penulis, terdapat kira-kira enam ekor toman mega di tasik utama. Para pemancing yang biasa memancing di tasik utama menggelar ikan-ikan tersebut sebagai geng ‘enam jahanam’.

Penulis mengambil keputusan untuk berhenti memandangkan jam menunjukkan pukul 12 tengah hari dan keadaan tasik agak tenang, tiada lagi boiling mahupun kelibat toman bujang mengejar anak-anak ikan.

Walaupun ‘kumpaw’ (istilah memancing untuk caster yang tidak mendapat hasil), penulis berjanji akan kembali semula dengan persediaan yang rapi selain membawa bot sendiri.

Kepada yang minat memburu toman mega, kunjungilah The Tomanz yang pasti memberikan pengalaman mencabar dan mengujakan.

POPULAR