fbpx
Membaca perlu dipupuk sejak kecil. - Gambar hiasan

Ibu bapa malas baca, anak pun ikut sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

STATISTIK yang dikeluarkan oleh World Culture Score Index mendedahkan masyarakat di negara India meluangkan masa melebihi 10 jam untuk membaca dalam tempoh seminggu.

Jumlah itu menjadikan India mendahului negara-negara lain dan diikuti oleh rakyat Thailand dan China yang rata-rata membaca selama lapan hingga sembilan jam dalam tempoh sama.

Apa yang menyedihkan ialah rakyat negara ini hanya me­luangkan masa tidak lebih tiga jam seminggu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, angka itu menyebabkan Malaysia tidak termasuk dalam senarai tersebut.

“Kajian profil membaca yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia pada 2005 pula mendapati, rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun.

“Angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada 2014 berdasarkan laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia, namun ia masih lagi rendah berbanding 40 judul buku setahun di negara maju,” katanya.

Ketika membaca laporan ini, penulis teringat momen hujung minggu lalu sewaktu sedang menjamu selera di sebuah restoran.

Majoriti pengunjung daripada dewasa hingga kanak-kanak yang sedang menunggu pesanan mereka tiba dilihat begitu sibuk dengan telefon pintar.

Bagaimanapun, penulis tertarik dengan sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak kecil berusia antara lima hingga 10 tahun. Mereka begitu khusyuk membaca buku sementara me­nunggu pesanan makanan.

Tidak dinafikan menggunakan peranti mudah alih individu juga boleh mengakses bahan ilmiah dengan membaca jurnal-jurnal ataupun e-buku, namun realiti­nya, individu lebih tertarik untuk melayari laman sosial.

Menurut Profesor dari Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor, Prof. Madya Dr. Jamilah Mustafa, untuk mempertingkatkan bacaan dalam kala­ngan anak-anak, ibu bapa perlu menerapkan budaya membaca.

“Bukan salah kanak-kanak dan remaja jika mereka tidak suka membaca kerana mereka tidak pernah tengok ibu bapa mereka membaca.

“Jadi yang paling penting tidak kira apa situasi ialah budaya membaca itu. Adakah kita telah mendedahkan budaya ini? Ibu bapa jangan memberi peranti mudah alih kepada anak anak-anak.

“Sebaiknya, ajaklah mereka membaca buku digital atau ber­cetak, jangan membiarkan mereka menonton kartun sahaja,” kata­nya.

Jelasnya lagi, kaedah ‘mari membaca dengan saya’ sewarjarnya dijadikan sebagai amalan dalam kalangan ibu bapa serta ahli keluarga yang lain bagi memupuk minat membaca.

“Pada suatu ketika di United Kingdom, mereka menggunakan binatang, kucing atau anjing untuk menemani kanak-kanak membaca.

“Jadi, sewaktu kecil lagi mereka akan rasa keseronokan membaca kerana dalam masa yang sama boleh bersama ibu bapa yang disayangi,” jelasnya.

Ujarnya lagi, menerusi kajian yang dijalankan oleh Scholastic (2008) The Kids and Family Reading Report mendedahkan ibu bapa mesti peka dalam pemilihan tajuk menurut tahap kesediaan kanak-kanak dari segi tahap emosi dan pembacaan yang sesuai dengan mereka.

Justeru, ibu bapa perlu membantu kanak-kanak mencari buku yang sesuai dan berbicara dengan mereka tentang cerita itu supaya mereka dapat mengha­yati cerita itu sekali gus akan suka membaca.

POPULAR

BERITA BERKAITAN