fbpx

Portal tawar kursus bina pelbagai kemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. ZAHARUDDIN menunjukkan portal Mycourse.my yang dibangunkan olehnya.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ternyata membuat kita semua hidup dengan norma baharu.

Dengan norma baharu, sesi pembelajaran dilakukan secara dalam talian seiring dengan perkembangan dunia digital masa kini.

Dalam hal ini, pelbagai kursus yang dapat meningkatkan pengetahuan atau kemahiran yang boleh memberi nilai tambah kepada individu turut ditawarkan di platform digital berteraskan pendidikan.

Mycourse.my antara platform digital yang dibangunkan untuk tujuan tersebut.

Pengarah Urusan Elzar Shariah Solutions Sdn. Bhd., Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, Mycourse.my merupakan satu portal pembelajaran bagi kursus jangka pendek merangkumi pelbagai subjek.

Menurutnya, subjek yang terkandung dalam portal itu merangkumi bidang profesional, universiti, persekolahan dan umum yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.

“Untuk bidang profesional, kursus yang ditawarkan merangkumi perakaunan, perundangan, kewangan Islam, pengaturcaraan komputer dan lain-lain lagi.

“Selain itu, portal ini juga menawarkan kursus bersifat umum yang dapat meningkatkan kemahiran seseorang seperti memasak, bersukan, menyunting gambar atau video dan banyak lagi,” jelasnya.

MELALUI portal Mycourse.my, orang ramai boleh mengikuti sebarang kursus yang boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.

Dalam pada itu, portal Mycourse.my menawarkan beratus-ratus kursus dalam bentuk gabungan video dan nota bagi memudahkan pelajar mengikuti kursus diminati.

Kursus yang tersenarai di platform ini kebanyakannya dalam bahasa Malaysia, bersifat kemahiran industri dan bukan terlalu bersifat teori.

Ini menjadikannya lebih menarik dan berpijak di bumi nyata.

Melalui portal itu juga, pelajar boleh menentukan masa untuk mereka belajar sendiri pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu orang lain.

“Sejurus pembayaran dilakukan, pelajar akan diberi akses untuk mereka mendalami kursus yang diambil dan pembelajaran boleh dilakukan mengikut kesesuaian waktu mereka.

“Pembelajaran juga boleh dilakukan secara berulang kali sehingga mereka benar-benar faham dengan hanya sekali bayaran.

“Harga untuk kursus-kursus yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu serendah RM19. Harga kursus juga bergantung kepada nilai kandungan sesuatu ilmu dan paling mahal mencecah harga sehingga RM1,500,” jelas Dr. Zaharuddin.

Sebagai contoh, bagi mereka yang ingin mendalami kemahiran membina atau mereka cipta bentuk slide yang berkualiti boleh menggunakan Microsoft Power Point atau urusan akaun, melalui Microsoft excel, reka grafik Adobe Photoshop dan Illustrator, WordPress, kewangan Islam serta banyak lagi.

Semuanya tersedia dan boleh menyertai kursus tersebut secara serta- merta di platform berkenaan.

Sebahagian kursus tersebut hanya berdurasi dua jam dan paling lama sehingga 29 jam.

Di dalam bengkel Power Point contohnya, pelajar didedahkan dengan cara bagaimana mereka bentuk slide yang menarik dan moden.

Selain itu, teknik yang diajar dalam bengkel itu juga amat mudah untuk difahami dan dipraktikkan.

Dr. Zaharuddin menambah, kursus- kursus yang ditawarkan di Mycourse.my sebenarnya mempunyai nilai ilmu dan boleh membantu seseorang itu memasarkan diri di alam pekerjaan.

“Kebanyakan sijil untuk kursus jangka pendek ini mempunyai nilai ilmu dan sebahagiannya diiktiraf oleh universiti dan juga industri.

“Mereka boleh memberi nilai tambah dalam resume masing-masing dengan menyertai kursus-kursus yang relevan,” jelasnya.

KINI perkembangan dalam bidang digital membolehkan pembelajaran dilakukan secara online. -GAMBAR HIASAN

Dalam pada itu, medium bahasa yang digunakan untuk kebanyakan kursus di platform ini adalah berbahasa Melayu dan bahan-bahan pembelajaran disediakan oleh mereka yang berkelayakan dan bertauliah.

Walaupun baru dua bulan dibangunkan, Mycourse.my menerima sambutan yang amat menggalakkan.

Sehingga kini, lebih 1,000 pelajar berdaftar dengan platform tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Zaharuddin berkata, untuk masa hadapan, pihaknya bercadang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memasarkan kursus bersesuaian di platform itu.

Ini bagi membolehkan lebih ramai dapat mendalami dan memahami sesuatu bidang ilmu.

“Kita hidup dalam norma baharu dan harus menggunakan perkembangan dalam bidang teknologi sebaik mungkin.

“Untuk mendalami sesuatu ilmu pada masa kini semakin mudah dan boleh dilaksanakan secara dalam talian.

“Sebolehnya di zaman internet ini, kita kena jadikan kursus-kursus yang bersesuaian dapat memberi nilai tambah sebagai satu produk jualan yang boleh dipasarkan di laman e-dagang ataupun portal pembelajaran,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI