fbpx
Aksi tujuh penunggang motosikal yang menunggang secara merbahaya tular di media sosial Facebook.

Empat penunggang motosikal aksi berbahaya ditahan, tiga lagi diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah ditahan polis dipercayai antara tujuh individu yang sebelum ini menunggang motosikal secara merbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson seperti yang tular dalam sebuah video di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai dan anggota Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah telah menahan empat penunggang motosikal itu yang berusia 17 hingga 18 tahun.

“Kesemua suspek ditahan pada pukul 1 hingga 4 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka.

“Salah seorang daripada suspek yang ditahan merupakan pelajar sekolah manakala tiga lagi merupakan pekerja kurier dan operator kilang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, keempat-empat suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000-RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, pihak polis sedang berusaha mengesan baki tiga lagi penunggang motosikal yang dikenali sebagai ‘Upa’, ‘Darwisy’ dan ‘Afiq’ yang terlibat dalam rakaman video yang tular.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara merbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial pada Ahad lalu.

Aksi semua penunggang motosikal itu dimuat naik di Facebook ‘N9 Info Traffic’ yang mana video tersebut memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN