PENGAMBILAN vaksinasi akan membuatkan penerima kurang mengalami simptom berat apabila dijangkiti Covid-19. – GAMBAR HIASAN

Mekanik kena potong gaji akibat liat ambil vaksinasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang meka­nik di sebuah bengkel, di sini mengakui majikannya bertindak memotong gaji dan menyekat kehadiran dia ke tempat kerja selepas masih belum me­nerima suntikan vaksin Covid-19.

Lelaki berusia 24 tahun yang hanya mahu dikenali Pok Yie itu tetap berkeras untuk tidak menerima suntikan vaksin kerana bimbang dengan kesan sampi­ngan yang bakal dihadapi.

Menurutnya, disebabkan pendirian itu, majikannya menyekat kehadiran dia ke bengkel daripada enam hari bekerja kepada hanya tiga hari seminggu.

“Pemilik bengkel tempat saya bekerja amat tegas. Dia halang saya daripada datang ke bengkel dan hanya menetapkan tiga hari sahaja untuk bekerja.

“Saya bekerja dengan bayaran RM50 sehari dan kebiasaannya memperoleh RM300 seminggu. Disebabkan halangan daripada majikan, saya hanya dapat RM150 sahaja dalam seminggu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, isteri dan ibu telah lengkap suntikan vaksin banyak menasihatkan dirinya agar menerima vaksin Covid-19 kerana bimbang jangkitan itu ada dalam keluarga.

“Insya-Allah saya akan me­nerima suntikan tidak lama lagi cuma perlu diberikan sedikit masa,” katanya.

Sementara itu, keputusan enggan divaksin kini membuatkan keadaan seorang eksekutif pengurusan wanita, Wan Siti Hajar Husein, 26, tidak menentu selepas majikannya hanya menetapkan semua petugas lengkap vaksinasi sahaja masuk ke pejabat.

Disebabkan pendiriannya itu, dia sanggup tidak men­ziarahi kematian datuknya di Gombak, Selangor minggu lalu kerana tahu tidak akan mendapat kebenaran rentas negeri daripada polis.

Kini, dia hanya memerap di rumah memandangkan majikan masih membenarkan para pekerja melakukan kerja dari rumah sebelum pejabat dibuka semula.

Katanya, bukan sahaja rakan-rakan kerja, malah ahli keluarga termasuk sepupu mula menjauhkan diri termasuk enggan mela­yan sebarang panggilan telefon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN