fbpx
Tangkap layar video kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Kampung Pandan, semalam.

Pusing U ikut aplikasi, penunggang motosikal cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Arahan aplikasi navigasi membawa padah apabila sebuah kereta dipercayai membuat pusingan U sebelum melanggar sebuah motosikal di Jalan Kampung Pandan berhampiran persimpangan Jalan Wira 8, Kampung Pandan, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan kira-kira pukul 11 malam itu melibatkan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 20 tahun dan sebuah kereta yang dipandu lelaki India berusia 18 tahun.

Menurutnya, turut berada di dalam kereta berkenaan ialah seorang penumpang lelaki berusia 25 tahun.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal sedang bergerak terus dari arah Jalan Ampang Hilir menghala ke Bulatan Kampung Pandan.

“Bagaimanapun, sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai membuat pusingan U sebelum melanggar bahagian tepi kanan motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan patah kaki kiri serta pergelangan tangan kanan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gleneagles untuk menerima rawatan lanjut dan kini ditahan di wad.

“Pemandu serta penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu berkenaan membuat pusingan U berdasarkan panduan aplikasi navigasi kerana tidak biasa dengan laluan terbabit.

Katanya, ujian pernafasan yang dijalankan terhadap pemandu mendapati bacaan alkohol adalah negatif.

“Rakaman keterangan saksi di lokasi kejadian turut mengesahkan pemandu terbabit bukan memandu dalam keadaan mabuk,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN