fbpx

Ara Johari ‘starstruck’ jumpa Malique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ara berpeluang bekerjasama dengan penyanyi rap, Malique menerusi lagu baharu, Keliru.

PETALING JAYA – Pernah melalui fasa tekanan membuatkan Ara Johari cuba membantu rakan seperjuangannya, Lil J daripada terus ‘terperangkap’ dalam emosi dengan mengajaknya berbual walaupun secara maya.

Katanya, keadaan teman sebumbung dalam syarikat Rocketfuel Entertainment itu membimbangkan apabila berubah daripada individu ceria kepada seorang yang pasif secara tiba-tiba.

“Kami kenal dah lima tahun sebaik bernaung di bawah syarikat pengurusan sama, malah sepanjang berkawan Lil J seorang yang ‘happy go lucky‘ dan tak pernah tunjukkan masalah depan orang.

“Tiba-tiba dia menyepi, mula ‘blackout’ kan Instagram, kongsi benda yang sedih membuatkan saya pelik kenapa dia macam ini. Mungkin ada sesuatu dan sebagai kawan saya kena ambil tahu keadaannya.

“Saya pun pernah rasa stres disebabkan komitmen serta perkara lain jadi saya ajak dia masuk live (siaran langsung) untuk tenangkan dia selain minta dia bercakap dengan peminat supaya dia gembira semula dengan apa yang dia rasa.

“Kita harapkan orang bagi komen positif. Tak semua orang sanggup terbuka bercerita masalah terutama membabitkan keluarga tapi apa yang Lil J buat dapat membuka mata ramai mengenai situasi ini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ara mendedahkan perkara itu ketika sesi bersama media secara virtual bagi mempromoikan single duetnya dengan Lil J yang juga mendapat sentuhan komposer dan ikon hip hop terkenal, Malique serta Siqma dan Muhaimin berjudul Keliru.

Lagu yang menceritakan kehilangan insan penting dalam kehidupan itu adalah situasi dilalui penyanyi rap muda, Lil atau Rvijay Raj, 22, yang dibesarkan ibunya sendirian selepas perpisahan kedua orang tuanya.

Menurut Ara lagi yang buat pertama kali mencuba genre hip hop, pendedahan kisah dendangan berkenaan bukan gimik, sebaliknya diharap menjadi pengajaran kepada orang lain supaya lebih peka dengan perubahan insan terdekat selain jangan ambil ringan isu tekanan perasaan.

“Tiada apa yang perlu dijadikan gimik kalau membabitkan hal peribadi begini kerana dalam berkarya kita juga ingin membuka mata ramai mengenai sesuatu isu dengan lebih terbuka,” ulasnya lagi.

Bercerita lagi mengenai pembikinan Keliru, pemilik nama penuh Nurfarrah Izzatie Johari, 24, itu tidak malu mengakui berdepan momen ‘starstruck’ (perasaan hormat jumpa orang hebat) sebaik bertentang mata dengan Malique.

“Sebenarnya saya tak jangkakan Malique akan berada di studio ketika proses rakaman berlangsung. Apabila dia sudah di depan mata, saya tergamam dan kelu untuk berkata-kata.

“Saya tak sangka bukan hanya dapat membawakan lagu Mr General (panggilan kepada Malique), malah berpeluang meraih tunjuk ajar komposer hip hop tersohor tersebut.

“Pengalaman ini sudah pasti sesuatu yang sangat berharga buat kami berdua. Tak sangka, pendengar juga bagi maklum balas yang baik untuk gandingan saya dan Lil J serta percubaan pertama saya membawakan genre ini.

“Siapa tahu selepas ini saya buat lagu hip hop solo pula,” luah Ara lagi yang baharu saja muncul dengan single solo baharu, Tetap Aku Cinta pada April lalu.

Tidak menganggap tempoh penghasilan antara kedua-dua dendangan sebagai satu masalah, dia menegaskan sudah bersedia menyahut cabaran untuk mempromosikan Keliru dan Tetap Aku Cinta serentak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI