fbpx

Harapan Malaysia ke separuh akhir lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA tewas straight-set kepada Ginting pada suku akhir Piala Thomas sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki kebangsaan gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Thomas selepas tewas 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia pada aksi suku akhir di Aarhus, Denmark sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk menjulang kejuaraan Piala Thomas yang kali terakhir berjaya dimenangi sewaktu menjadi tuan rumah edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Malaysia menaruh sandaran kepada perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia untuk mengutip mata pertama, namun tidak kesampaian apabila tewas straight-set 15-21, 17-21 kepada Anthony Sinisuka Ginting dalam aksi di Arena Ceres.

Peluang Malaysia tampak lebih sukar selepas kekalahan beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan keputusan 17-21, 21-16, 15-21 kepada ranking No. 1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Ia sekali gus menafikan hasrat beregu negara itu untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut ke atas Gideon-Sukamuljo sejak menewaskan mereka pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Sudirman hujung bulan lalu.

Malaysia akhirnya terpaksa akur terkandas di peringkat suku akhir Piala Thomas selepas perseorangan lelaki kedua, Ng Tze Yong tewas 21-14, 19-21, 16-21 kepada Jonatan Christie.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada Tze Yong kerana berjaya memberikan tentangan sengit kepada Jonatan walaupun berkedudukan No. 82 dunia iaitu ranking yang jauh lebih rendah daripada lawannya pada tempat ketujuh dunia.

Sebagai rekod, Malaysia juga disingkirkan oleh Indonesia dengan keputusan 1-3 di peringkat suku akhir pada edisi tiga tahun lalu di Bangkok, Thailand. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI