fbpx
Mahalatchumy ( tengah), Muthukumaran (kanan) dan Kastury bersama gambar kenangan dengan mendiang ibu bapanya. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

Deepavali tidak ceria lagi bagi tiga beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Perayaan Deepavali bulan depan nyata tidak semeriah bagi tiga beradik selepas menjadi yatim piatu apabila kehilangan kedua-dua ibu bapanya termasuk akibat Covid-19.

Ketiga-tiga beradik itu adalah S. Mahalatchumy, 19 yang merupakan pelajar tahun dua Diploma Pelancongan dan Hospitaliti Politeknik Sultan Idris Shah selain Muthukumaran,17 dan Kastury,16, yang masing-masing adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Andalas.

Menurut Mahalatchumy, bapa mereka iaitu K. Selvam,53, meninggal dunia akibat serangan jantung pada April lalu sebelum ibu mereka, S. Chandrakala, 43, pula menyusul empat bulan kemudian iaitu pada 21 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19.

Mendiang Selvam bekerja sebagai pemandu lori manakala Chandrakala merupakan pembantu jualan di sebuah kedai emas.

Katanya, mereka kini ditinggal bersama nenek, R. Malayama,73, di rumah peninggalan kedua-dua ibu bapa mereka di Taman Sentosa di sini.

“Memang sedih kerana sambutan Deepavali tahun ini tidak ceria berbanding sebelum ini namun saya perlu kuat demi adik-beradik.

“Biasanya pada waktu pagi Deepavali, ibu bapa kami akan melakukan tradisi sambutan iaitu mandi dan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan sebelum makan bersama,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.

Terdahulu, ketiga-tiga beradik itu menerima kunjungan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan pengurusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mereka menerima Faedah Bantuan Pengurusan Mayat (PFM) sebanyak RM2,000 dan bayaran pencen penakat sebanyak RM1,003.20 sebulan kepada ketiga-tiga beradik itu sehingga mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian di institusi pengajian tinggi.

Cerita lanjut, Mahalatchumy berkata, ibunya meninggal dunia selang 10 hari selepas menerima suntikan vaksin pertama dengan menerima rawatan selama dua hari di Hospital Ampang.

Ujarnya, dia langsung tidak menyangka virus Covid-19 menjangkiti ibunya begitu pantas merebak.

“Setakat ini, ramai membantu termasuk sebuah yayasan dalam membayar yuran pengajian. Saya hanya mahu terus menumpukan pelajaran sebelum menyambung ke peringkat Ijazah seterusnya membantu dua adik lain,” jelasnya.

Sementara itu, Saravanan berkata, berdasarkan semakan caruman Perkeso mendapati hanya mendiang isterinya sahaja mencarum seterusnya melayakkan menerima faedah Perkeso.

“Situasi ini mencabar kepada mereka namun menerusi caruman itu sedikit sebanyak dapat membantu tiga beradik ini termasuk dalam pendidikan mereka,” katanya. -K!ONLINE

POPULAR