fbpx

Ahmad Zikri kapten skuad B-23 Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZIKRI (kiri) menunjukkan kualiti kepimpinan yang baik di atas padang sehingga memikat hati Maloney untuk melantiknya sebagai kapten skuad B-23 negara.

KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney memberi bayangan bahawa tonggak pertahanan, Ahmad Zikri Khalili mungkin diberikan lilitan kapten bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia bermula minggu depan.

Sebagai rekod, pemain skuad Liga Premier, Selangor II berusia 19 tahun itu telah diberi tanggungjawab memimpin kese­belasan utama pada aksi persahabatan ketika tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC), Selasa lepas.

Kata Maloney, Zikri mampu menjadi aset penting buat negara pada masa hadapan berdasarkan kebolehannya beraksi di pelbagai posisi selain memiliki kualiti ke­pimpinan di atas padang.

“Saya gembira melihat prestasi yang dipamerkan oleh Zikri kerana dia berkomunikasi dengan rakan-rakan sepasukan sepanjang perlawanan dan menunjukkan kualiti kepimpinan yang baik. Saya lihat dia cukup sempurna untuk tugas itu.

“Malah, kelebihannya beraksi di pelbagai posisi juga menjadi aset penting kerana dia boleh bermain di bek kiri, pemain tengah dan sayap. Namun, buat masa ini, dia ditugaskan beraksi di pertahanan tengah dan saya lihat dia tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri,” kata pengendali dari Australia itu.

Sementara itu, Maloney telah membuat keputusan untuk memanggil pemain Terengganu FC (TFC) II, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar bagi menyertai kem skuad B-23 negara bermula semalam.

Nur Azfar hadir untuk menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Ahmad Aysar Hadi Mohd. Shapri yang terpaksa digugurkan selepas mengalami kecederaan pada sesi latihan.

Skuad B-23 negara dijadualkan bertemu Penang FC pada satu lagi aksi persahabatan di Arena MBSJ, Subang Jaya hari ini dan Kedah Darul Aman FC pada Isnin depan sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia.

Skuad muda Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia dan Thailand dengan juara peringkat kumpulan akan layak secara automatik untuk menyertai kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI